Advertorial

Transformasi perniagaan PEDi Kampung Si Rusa, lahir 160 usahawan aktif

FAIZAL (tengah) ketika Program Lawatan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, UPEN dan MCMC Negeri Sembilan baru-baru ini
- Diterbit 22 Disember 2023 4:40 PM MYT

USAHA Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewujudkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di kawasan bandar dan luar bandar jelas membuktikan banyak peluang tersedia kepada komuniti setempat dalam merapatkan jurang literasi digital sekali gus melahir dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

Menerusi PEDi, komuniti boleh mendapatkan pelbagai program dan latihan yang menumpukan kepada pemerkasaan ekonomi digital meliputi aspek literasi digital, keusahawanan serta advokasi iaitu latihan dan bimbingan kepada pelajar sekolah.

Ia juga dapat dibuktikan menerusi kejayaan sesebuah PEDi dalam melahirkan usahawan komuniti yang mampu menjana pendapatan melebihi sasaran awal perniagaan. Antara PEDi luar bandar yang telah berjaya memperkasakan ekonomi digital dalam aspek keusahawanan dalam kalangan masyarakat setempat adalah di PEDi Kampung Si Rusa yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pengurus PEDi Kampung Si Rusa, Noraishah Ismail berkata daripada jumlah 1,515 usahawan aktif PEDi di Negeri Sembilan, pusat perkhidmatan ini berjaya melahirkan seramai 160 usahawan aktif berdasarkan rekod data dari tahun 2020 hingga 30 Jun tahun ini.

“Usahawan berkenaan diangkat menjadi ikon usahawan PEDi Kampung Si Rusa di mana mereka berjaya meningkatkan hasil jualan daripada RM4,000 kepada lebih RM12,000 sebulan.

“Fokus utama kita adalah untuk memperkasa dan melatih masyarakat celik digital, membuka peluang pekerjaan, membantu komuniti meningkatkan pendapatan jualan mereka melalui platform e-dagang dalam talian serta menyediakan kesalinghubungan dan penyokong ekonomi digital kepada komuniti setempat.

“Alhamdulillah, sejak beroperasi pada 22 April 2017, penerimaan komuniti di sini amat memberangsangkan terutama daripada aspek perkhidmatan dan ketersediaan kemudahan ICT yang membolehkan mereka berlatih dan meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan.

“Antara program yang dilaksanakan adalah latihan e-commerce khusus untuk usahawan dan didedahkan kaedah pemasaran di platform-platform media sosial seperti Lazada, TikTok, Instagram, Shopee, Facebook Ads, Facebook Live dan sebagainya.

“Di samping itu, kita juga turut memberi ruang kepada para usahawan untuk mempelajari teknik penyuntingan video yang berkesan dengan menggunakan aplikasi Canva di mana teknik ini membolehkan peserta mencipta video menarik untuk meningkatkan view dalam YouTube channel,” katanya yang ditemui Wilayahku pada Program Lawatan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan MCMC Negeri Sembilan di PEDi Kampung Si Rusa baru-baru ini.

Selain komuniti di Kampung Si Rusa yang mempunyai jumlah seramai 470 orang, Noraishah berkata mereka juga turut menerima kunjungan orang luar yang menggunakan perkhidmatan di sini.

Tambahnya, selain memfokuskan kepada pembangunan keusahawanan dalam komuniti, PEDi Kampung Si Rusa juga pernah mengadakan pelbagai program ICT antaranya kursus kemahiran jangka pendek photo phone, bengkel pengenalan kepada asas komputer dan Microsoft Word, Program Advokasi Klik Dengan Bijak dengan warga emas, tabika KEMAS dan MARA serta pelbagai lagi.

“Peranan PEDi cukup penting kepada masyarakat iaitu sebagai penggerak agen transformasi daripada perkhidmatan pasaran secara tradisional ke arah pendigitalan yang berinovatif.

“Justeru itu, saya berharap kepada seluruh komuniti untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan termasuklah para usahawan mendapatkan pelbagai latihan dan bimbingan melibatkan keusahawanan secara digital,” jelasnya.

Terdahulu, dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi memperkasa peranan PEDi untuk membantu masyarakat setempat dan sebagai rekod, sehingga Jun lalu, sebanyak 27,963 usahawan aktif PEDi direkodkan di seluruh negara.

Pendapatan lebih RM12,000

PUSAT Ekonomi Digital (PEDi) merupakan platform kepada usahawan komuniti untuk mempelopori dunia perniagaan secara digital menerusi aplikasi-aplikasi sosial media yang kini menjadi pendorong utama golongan terbabit untuk menjana pendapatan.

Salah seorang usahawan, Mohamad Helmi Hasim, 28, berkata melalui latihan keusahawanan yang disediakan PEDi, dia berjaya membuat jualan produk kraf tangan (Laser Engraving) melebihi RM12,000 sebulan.

Mohamad
Helmi

“Saya meniaga produk kraf ini sudah melebihi 10 tahun ketika masih di peringkat sekolah lagi. Sebelum menyertai PEDi, jualan saya dalam RM2,000 sahaja tetapi kini Alhamdulillah mampu mencecah sehingga RM12,000 sebulan.

“Kelebihan yang ditawarkan di PEDi tidak hanya pembelajaran dan penggunaan Internet secara percuma malah banyak yang saya dapat pelajari di sini terutama dari aspek strategi pemasaran dalam TikTok Shop dan kelas editing kemahiran Adobe Photoshop.

“Dengan ilmu tersebut, saya cuba pasarkan produk ini di platform Shopee, TikTok dan WhatsApp dan ternyata kebanyakan order memang daripada platform tersebut. Terima kasih diucapkan kerana banyak membantu saya,” katanya yang menghadiri Program Pupuk @ Shopee secara online.

Turut berpandangan sama, usahawan Popcorn Caramel Homemade, Muhammad Mat Shary, 33, berkata selama lebih enam bulan menghadiri latihan keusahawanan di PEDi, dia mampu membuka akaun Shopee dan Facebook perniagaan sendiri untuk memasarkan produk jualannya.

Muhammad Mat

“Latihan yang diberi adalah daripada segi marketing, maklumat label dan teknik jualan pemasaran termasuklah cara untuk mempelbagaikan rekaan bungkusan produk popcorn ini.

“Sebelum ini, saya buat design guna plastik biasa sahaja tetapi sejak menghadiri kelas e-usahawanan di PEDi ini, dia bagi idea untuk saya hasilkan design dan pasarkan produk dengan lebih meluas,” katanya yang kini memperoleh pendapatan melebihi RM1,500 sebulan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas