Advertorial

Anugerah MIV, MEA 2023: 22 sukarelawan ICT terbaik diiktiraf

AZHARUL FAIZ (kanan) menerima trofi dan sijil bagi dua kategori pada MEA 2023
- Diterbit 22 Disember 2023 4:30 PM MYT

SERAMAI 22 daripada 1,579 orang sukarelawan di seluruh negara telah dipilih sebagai penerima Malaysia ICT Volunteer (MIV) Excellence Awards 2023 (MEA 2023) di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya baru-baru ini.

Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata sebanyak enam kategori anugerah telah dipertandingkan iaitu MIV Bersama Sekolah, Tim MIV Bersama Komuniti, Individu MIV Bersama Komuniti, MIV Bersama Institut Pengajian Tinggi dan Sukarelawan ICT Antarabangsa (IPT dan IIV), Kandungan MIV Terbaik serta Anugerah Khas MIV.

“Penerima anugerah dipilih berdasarkan kepada projek-projek yang dilaksanakan mereka sepanjang tahun 2022.

“Pihak MCMC berharap pemberian anugerah ini dapat memberikan suntikan semangat kepada para sukarelawan lain untuk tampil berkongsi idea, kemahiran, kepakaran, masa dan tenaga dalam melaksanakan projek-projek berimpak tinggi dalam komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah MEA 2023.

MOHAMAD SALIM (tengah) bersama 22 sukarelawan ICT terbaik ketika Majlis Anugerah MEA 2023 yang berlangsung di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya pada Rabu

Menurut Mohamad Salim, usaha mereka (sukarelawan) dalam memupuk budaya yang positif, produktif dan penggunaan Internet berhemah di dalam komuniti serta membangunkan kompetensi untuk memanfaatkan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) adalah kritikal kepada agenda negara digital.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan rasa bangga kepada kesemua pemenang selain mengajak mereka untuk bersama-sama menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik pada masa hadapan.

“Sekalung tahniah atas dedikasi yang menakjubkan daripada anda semua kerana berjaya melaksanakan program ini. Saya mahu lebih ramai penyertaan sukarelawan dan MCMC di dalam bengkel atau apa sahaja program yang akan kita laksanakan pada masa hadapan.

“MCMC akan melabur lagi dalam kesemua program ini bagi memastikan kami mencapai satu tahap perkhidmatan sukarela yang amat tinggi di luar sana, jadi ia akan memberikan khidmat dalam setiap aspek rakyat di bandar, separuh bandar dan luar bandar,” katanya.

Sebagai rekod, MIV yang diperkenalkan sejak 2016 merupakan projek kelolaan MCMC dan sehingga kini telah melatih 10,247 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang yang mampu memajukan dan menghasilkan aplikasi serta perkhidmatan ICT yang memberi manfaat dalam kehidupan seharian.

Antara khidmat lain yang diberikan oleh sukarelawan MIV adalah melaksanakan strategi pemasaran dalam talian bagi membantu pengusaha tempatan memasarkan produk, mendidik penggunaan ICT secara berhemah dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap mesej advokasi MCMC.

Hadir sama pada majlis ini adalah rakan-rakan strategik MIV yang terdiri daripada wakil Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia, Institut Pengajian Tinggi dan penyedia perkhidmatan.

Pada majlis tersebut, guru ICT dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Serai, Perak, Azharul Faiz Zainal Abidin, 42, muncul sebagai Sukarelawan Terbaik Keseluruhan MEA 2023 apabila menerima Excellence Award bagi kategori Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) Bersama Sekolah dan Superstar Award bagi kategori Anugerah Khas MIV.

“Alhamdulillah saya bersyukur atas anugerah yang diberikan. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan program ini. Saya memilih untuk melaksanakan projek tentang keselamatan siber dan Program Celik ICT ini memandangkan isu melibatkan penipuan dan berita palsu di Internet semakin berleluasa.

“Jenis program yang dianjurkan adalah sebaran maklumat mengenai keselamatan siber dan aktiviti klik dengan bijak yang mana projek telah dijalankan dari Mac hingga Oktober tahun lalu dengan kerjasama Kelab Pencegahan Jenayah sekolah dan seluruh warga pendidik.

“Sebelum ini, saya turut melaksanakan pelbagai aktiviti inovasi melibatkan konsep ICT antaranya ‘Jom Sifir’ iaitu aplikasi yang membolehkan pengguna membuat latihan sifir menerusi telefon pintar,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis MEA 2023 baru-baru ini.

AWAS JERAT SCAMMER, PENGGODAM

DALAM pada itu, Penolong Kanan Kokurikulum SK Bagan Serai itu berkata secara umumnya keselamatan siber di Malaysia pada masa ini berada pada tahap yang serius dan membimbangkan serta boleh menjadi kritikal jika tiada pemantauan serta tindakan kesiapsiagaan.

“Ia berpotensi menjadi lebih serius dan kritikal jika tiada langkah diambil secara berterusan oleh pihak kerajaan dan organisasi swasta untuk mempertingkatkan benteng pertahanan siber serta memberi kesedaran kepada pengguna mengenai pentingnya amalan terbaik dalam penggunaan teknologi dan Internet.

“Semua pihak perlu berganding bahu dan menunaikan tanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan tahap keselamatan siber dan memupuk kesedaran masyarakat mengenai ancaman siber,” ujar pendidik yang sudah berkhidmat selama 18 tahun itu. – WILAYAHKU

INFO

Outstanding Award (kategori MIV Bersama Sekolah):
Tan Ke Sin

Impressive Award (kategori MIV Bersama Sekolah):
Jessica James Sikain

Excellence Award (kategori Tim MIV Bersama Komuniti):
Pusat Ekonomi Digital (PEDi) FELDA Soeharto

Outstanding Award (kategori Tim MIV Bersama Komuniti):
PEDi Kg Makmur, Perak

Impressive Award (kategori Tim MIV Bersama Komuniti):
PEDi Semambu, Pahang

Excellence Award (kategori Individu MIV Bersama Komuniti):
Sahpiah Adam

Excellence Award (kategori MIV Bersama IPT dan IIV):
– Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU)
Tasawar Ali
Jamal Hossan
Md Shakil Hossan
Md Nurullah

Excellence Award (kategori Kandungan MIV Terbaik):
– PEDi Sg Haji Doraini, Selangor
Siti Nazirah Mohd Idris
Nurul Hamizah Samsuri
Nursyuhada Nasruddin

Kesemua penerima anugerah menerima hadiah berupa wang tunai, trofi serta sijil kecemerlangan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas