Artikel

Sweet Charity di Stadium Merdeka

- Diterbit 26 November 2021 3:18 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN 

Wartawan Bebas

KETIKA di kampung di Perlis tahun 1980, saya suka dengan lagu sebuah kumpulan baharu dari Singapura, Sweet Charity.

Kalau tidak silap kumpulan ini ditubuhkan satu atau dua tahun sebelum itu. Semua lagu mereka menyelitkan petikan gitar yang nyaring, amat berbeza dengan lagu-lagu tahun 1970-an.

Petikan gitar seperti itu kemudiannya saya difahamkan sebagai rock. Saya cuba mencari maksud rock. Terjemahan literal rock adalah batu.

Barangkali muzik rock mengambil imej batu. Ini kesimpulan saya yang bukan ahli dalam muzik. Walaupun lagu yang lemah gemalai, petikan gitarnya keras.

Walaupun lagu berirama dangdut yang gemalai, tetapi di tangan Sweet Charity menjadi agak keras.

Lagu-lagu Sweet Charity memberikan semangat kepada saya yang ketika itu menjadi pesawah sepenuh masa, cuma waktu terluang mencari duit belanja sebagai buruh binaan.

Pada usia yang relatif muda, 20 tahun, bagi saya Sweet Charity sangat mengujakan.

Banyak lagu Sweet Charity menjadi pilihan saya dan kawankawan ketika bersembang sambil bermain gitar di atas dangau (bangsal) di permatang pada malam bulan mengambang.

Kenapa waktu bulan mengambang? Sebenarnya tidak ada kaitan dengan mistik. Ia tidak lebih kerana bulan mengambang itu keindahan bagi kami orang kampung.

Indah melihat alam yang diterangi cahaya bulan. Orang kampung tahu akan keindahan ini.

Dengan gitar akustik yang kami sebut gitar tong, perasanlah kami sebagai ‘Sweet Charity’ di tengah sawah. Ada yang perasan menjadi Ramli Sarip, penyanyi utama Sweet Charity.

Terleka dengan lagu-lagu yang sememangnya ‘sweet’ walaupun hakikatnya menjadi tawar apabila sampai ke tangan kami.

Walaupun ketika itu sudah ada beberapa kumpulan muzik antaranya Black Dog Bone, Flybait dan Carefree, tetapi Sweet Charity lebih menonjol kerana lagu-lagunya berentak rock.

Seingat saya lagu yang bercorak rock mulai menguasai minat anak muda di kampung sejak akhir tahun 1970-an.

Tetapi waktu itu saya hanya lebih berminat dengan Sweet Charity. Dalam sehari entah berapa kali radio RTM memutarkan lagu kumpulan ini.

Antara paling popular tentulah Jangan Tunggu Lama-Lama, Zakiah (nyanyian asal Achmad Albab dari Indonesia), Kamelia (nyanyian asal Ebiet G Ade dari Indonesia), Sejuta Wajah dan Bagaikan bermimpi.

Sebenarnya lagu-lagu itu bukanlah terlalu keras. Masih dalam kelompok lagu-lagu perlahan yang melankolik seperti tahun 1970-an. Cuma yang membezakan diselitkan petikan gitar yang lebih nyaring.

Ketika itu majlis kenduri kahwin di kampung seolaholah tidak lengkap kalau tidak memainkan lagu Sweet Charity.

Anak-anak muda yang menjadi penanggah dan tukang basuh pinggan akan mogok. Kenduri tidak berseri tanpa kemanisan Sweet Charity.

Maka tidak hairanlah sepotong daripada lirik lagu Jangan Tunggu Lama-Lama nyanyian menjadi tagline popular.

Kepada yang belum kahwin mulalah orang tua-tua menyindir, ‘jangan tunggu lama-lama.’ Yang lain pula menambah, ‘nanti lama-lama diambil orang.’

Tua dan muda tahu tagline ini malah sama popular dengan tagline iklan Amanah Saham Nasional 1981 (ASN), ‘merah sangatlah mak ngah.’ Begitulah besar pengaruhnya Sweet Charity.

Bagaimanapun siapa pun tidak menduga pada Ogos 1984 saya berada di tengah-tengah Stadium Merdeka, Kuala Lumpur menonton konsert Sweet Charity.

Malam itu Stadium Merdeka penuh dengan peminat rock yang datang dari seluruh negara.

Dari pertuturan mereka saya yakin bukan semuanya dari Kuala Lumpur.

Ketika itu saya baru lapan bulan menjadi wartawan di Utusan Melayu.

Lebih bernasib baik lagi apabila saya mendapat pas masuk VIP dengan percuma.

Semuanya kerana saya seorang wartawan. Padahal tidak membuat liputan pun mengenai konsert itu.

Saya datang untuk menikmati Sweet Charity secara langsung di depan mata.

Itulah pertama kali saya menonton konsert terbesar. Memang sangat berbezalah kalau hendak dibandingkan dengan persembahan ghazal parti atau kugiran di padang sekolah di kampung saya.

Bunyi pembesar suara pun membuatkan jantung bagai hendak luruh.

Ketika itu rasanya seperti hendak beritahu kawan-kawan di kampung yang saya berada di depan pentas konsert Sweet Charity.

Tetapi zaman itu belum ada telefon bimbit. Telefon di pejabat pun yang fesyen lama, warna hitam yang berlubang-lubang macam kuih goyang.

Tetapi yang kurang sedapnya hanya saya seorang sahaja yang pakai kemeja lengan panjang senteng tiga suku, berseluar slack dan kasut PVC yang berkilat macam kulit.

Saya melihat di sekeliling, memang tidak ada berpakaian seperti hendak ke pejabat.

Terasa seperti makhluk asing yang jatuh dari langit ke bumi yang sangat asing.

Hampir semua yang memenuhi Stadium Merdeka berimej rockers – baju T atau singlet dipadankan dengan seluar jeans ketat. Ada yang pakai seluar plastik yang lekat di betis.

Tidak lengkap kalau tidak ada segala bintang dan duri di jaket PVC yang banyak dijual di kaki lima Chow Kit.

Rasa bagai melayang tinggi di awan apabila Sweet Charity menyanyikan lagu popular antaranya Zakiah, Bagaikan Bermimpi dan Sejuta Wajah.

Ada kalanya peminat yang berimej rockers turut bergoyang dengan gemalai.

Kalau dilihat pada imej, memang sangat ganas, tetapi di depan pentas sudah menjadi macam peminat dangdut pula.

Secara kebetulan pula banyak yang terperangkap dengan pergaulan bebas adalah mereka yang berimej rockers.

Mereka perasan sudah menjadi mat salih dengan berimej rockers.

Sebenarnya pergaulan bebas di Kuala Lumpur bermula jauh lebih awal sejak tahun 1950-an lagi. Ketika fenomena muzik keroncong menguasai Malaya.

Maka golongan establishment pun melihat perkembangan budaya rock dengan penuh kebimbangan.

Walaupun fenomena rock kapak pun disamakan dengan pesta Woodstock di Amerika tahun 1969.

Tetapi saya tetap yakin bahawa pergulatan sosial dan fenomena muzik perlu dilihat secara berasingan.

Pemimpin politik yang oportunis pun mengambil kesempatan untuk kelihatan selari dengan golongan establishment.

Dengan kuasa, mereka menyekat muzik rock dengan pelbagai peraturan. Tiba-tiba politikus termasuk yang paling korup menjadi moralis.

Politikus korup sebenarnya tidak ada modal, maka imej rambut panjang dijadikan bahan.

Bagaimanapun mereka terlupa bahawa tidak semua yang berambut panjang itu panjang tangannya. Ada politikus yang berambut pendek lebih panjang tangannya.

Kini selepas lebih empat dekad berlalu lagu-lagu Sweet Charity tetap manis dalam kenangan.

Melihat Stadium Merdeka yang sepi dan terpinggir, terfikir juga apalah sangat dengan konsert Sweet Charity.

Tempat sejarah perisytiharan merdeka pun orang politik tidak mampu hendak pelihara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas