Artikel

Lebih 60 negara berhimpun dalam Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2022

BARISAN tetamu kehormat yang hadir pada Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2022 terdiri daripada penggubal dasar kerajaan, peneraju industri dan ahli akademik terkemuka.
- Diterbit 1 Disember 2022 2:40 AM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) dan Kerajaan Negeri Sabah mengadakan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, Sabah pada 28 hingga 30 November 2022.

Persidangan yang sudah memasuki edisi keenam itu mengumpulkan 1,000 delegasi dari lebih 60 negara untuk menyambung dan menilai semula pemulihan pelancongan selepas pandemik COVID-19 menyerang di seluruh dunia.

Di samping pegawai UNWTO, ia juga menampilkan kira-kira 30 penceramah pakar yang terdiri daripada penggubal dasar kerajaan, peneraju industri dan ahli akademik terkemuka dalam memperjuangkan kepimpinan pemikiran mengenai masa depan pelancongan serta strategi bagi memacu pemulihan dan daya tahan pelancongan dunia di era pasca pandemik.

Persidangan ini turut melibatkan Menteri Negeri, Kementerian Pelancongan Maldives, Dr Ahmed Salih; Pengurus Besar Serantau Pelancongan Australia, Brent Anderson; Profesor Emeritus Universiti Wisconsin Stout, Amerika Syarikat, Profesor Jafar Jafari; Pengasas bersama Traveloka Indonesia (Co-Founder), Albert serta wakil daripada beberapa syarikat berkaitan pelancongan paling inovatif di dunia seperti Skift, Tripadvisor, TUI Group dan Intrepid Travel.

Selain itu, barisan pakar-pakar tempatan daripada Malaysia turut membuat penampilan di pentas eksklusif WTC 2022 antaranya Profesor Dr Amran Hamzah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Taman Tema, HC Chan; Ketua Pegawai Pemasaran dan Pelanggan, Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May; Ketua Pegawai Eksekutif Evenisis, Yusno Yunos serta dua lagi dari Kota Kinabalu, Sabah iaitu Pengarah Taman-Taman Sabah (Sabah Parks), Dr Maklarin Lakim bersama Pengasas dan Pengarah Sticky Rice Travel, Jessica Yew.

Dalam pada itu, salah satu acara utama persidangan itu ialah ucapan pembentangan oleh penceramah terhomat dari Program Pembangunan (PBB) Lestari Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Asia dan Akademi Sains Malaysia, Profesor Datuk ChM Dr Mazlin Mokhtar.

Buat pertama kalinya, beliau membawa perspektif saintis kepada WTC terutamanya dalam memajukan pemulihan pelancongan yang lebih mampan yang merangkumi peralihan tenaga dan neutraliti karbon.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Saraya Arbi dalam ucapannya mengakui pandemik COVID-19 memberi kesan yang begitu besar bukan sahaja di negara Malaysia malah seluruh dunia sehingga menjejaskan pertumbuhan sektor pelancongan.

“Bagaimanapun, terdapat juga peluang besar untuk kita memikirkan dan membayangkan semula strategi untuk membentuk sebuah sektor pelancongan yang lebih mampan dan inklusif pada masa hadapan.

“Meskipun negara akan menghadapi cabaran besar terhadap ekonomi global pada tahun 2023 dan seterusnya, pakar mempunyai jangkaan besar untuk sektor pelancongan dengan meramalkan permintaan yang berterusan di samping peluang pertumbuhan baharu dan pasaran khusus baru yang akan muncul akibat wabak itu.

“Sebagai contoh, apabila pemulihan pelancongan bermula, sempadan antara kerja, rumah, masa lapang dan perjalanan menjadi semakin kabur, memerlukan kerjasama silang yang lebih besar antara pelancongan dan pengangkutan, kesihatan, keselamatan, bandar dan sistem bandar ke arah kebolehdiaman dan kualiti hidup yang lebih baik untuk kedua-duanya iaitu pengunjung dan juga penduduk,” katanya.

Katanya, perkara tersebut adalah sebahagian daripada prospek baharu yang lebih menarik dan ia akan diterokai semasa persidangan dua hari tersebut.

“Oleh itu, saya berharap tema yang dipilih iaitu ‘Tourism Futures Reimagined’ akan memberi inspirasi kepada pandangan mendalam tentang cabaran, peluang, arah aliran dan ramalan yang membentuk masa depan industri,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas