Berita

Tokoh wartawan, Datuk Ahmad A. Talib meninggal dunia

ALLAHYARHAM DATUK AHMAD A.TALIB
- Diterbit 26 Mei 2020 11:59 AM MYT

PUTRAJAYA – Tokoh wartawan, Datuk Ahmad A. Talib meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya akibat kanser hati.

Perkara itu disahkan anak perempuannya, Sophia dalam satu status Facebook yang dimuat naik sejurus selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5.42 petang tadi.

Allahyarham berusia 69 tahun meninggal dunia akibat kanser hati.

Allahyarham Ahmad telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai di ibu negara untuk menerima rawatan barah sebelum Ramadan lalu.

Sophia berkata, jenazah dibawa ke Masjid Al Muqarrobin, Bandar Tasik Selatan untuk urusan pengebumian dan solat jenazah diadakan di lokasi sama.

“Insya-Allah, jenazah Allahyarham akan dikebumikan hari ini juga.

Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham, moga Allah merahmati dan mengasihi roh beliau. Jazakallah,” katanya.

Allahyarham Ahmad meninggalkan isteri, Datin Norsimah Daud dan empat orang anak.

Beliau pernah berkhidmat di New Straits Times Press (NSTP) dan dilantik sebagai pengarah eksekutif, Meja Berita dalam Lembaga Pengarah NSTP pada 1 Julai 2009 dan Pengerusi Institut Akhbar Malaysia.

Allahyarham memulakan karier sebagai wartawan dengan Bernama pada tahun 1972; Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (dahulunya Kewangan Penerbitan Sdn Bhd) (1978) dan Berita Harian (1985). Beliau turut memulakan Travel Times, Cars, Bikes dan Trucks.

Allahyarham pernah menyandang jawatan Penolong Pengarang Berita Harian (1987); Pengarang Berita New Straits Times; Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu dan Penolong Pengarang Kumpulan (1991-1996).

Seterusnya dilantik sebagai Pengarang Kumpulan, New Straits Times (1998) ; Pengurus Besar Kumpulan dan Komunikasi dan Pemasaran Editorial (2004).

Beliau juga pernah diberi tanggungjawab menjadi moderator dalam beberapa rancangan di Media Prima Berhad termasuk Soal Jawab di TV3. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas