Berita

Protokol baharu rawat Covid-19 hanya 14 hari

PETUGAS barisan hadapan memakai PPE ketika memberikan rawatan kepada pesakit di hospital. Gambar hiasan
- Diterbit 26 Mei 2020 12:22 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan protokol merawat pesakit Covid-19 baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit akan dirawat dalam 14 hari sahaja kerana kadar kebolehjangkitan wabak itu akan lemah selepas tempoh itu.

Katanya, protokol rawatan sebelum ini menetapkan pesakit hanya dibenarkan pulang selepas ujian dijalankan terhadap mereka pada hari ke-13 menunjukkan keputusan negatif.

“Selepas itu kita ubah, kita perlukan hanya satu keputusan negatif cukup untuk discaj pesakit.

“Semalam maklumat yang kita terima dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kajian dari negara lain menunjukkan kebolehjangkitan sudah kurang selepas tempoh 14 hari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM masih lagi mempelajari virus berkenaan berikutan ia masih baharu.

Katanya, ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) masih mengesan peluruhan virus adalah positif lemah yang tidak menjangkiti atau kebolehjangkitan kurang atau hampir sifar.

“Pesakit positif Covid-19 akan mengguna pakai protokol baharu ini untuk tempoh 14 hari rawatan.

“Kita akan maklumkan kepada semua pakar di hospital mengenai protokol baharu dan merawat kes positif untuk tempoh 14 hari sahaja.

“Walaupun mereka akan positif selepas tempoh 14 hari, kebolehjangkitan itu adalah hampir sifar,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas