Selera

Tokmie Tomyam Station warung klasik pilihan warga kota

TOKMIE Tomyam Station turut digemari oleh para selebriti seperti Chef Ismail dan pengacara popular Dee.
- Diterbit 21 Mac 2022 7:00 AM MYT

TERLETAK di lokasi ‘syurga makanan’ iaitu Kampung Baru, Kuala Lumpur, Tokmie Tomyam Station semakin menjadi pilihan dalam kalangan warga kota.

Kedai makan yang dibuka sejak awal tahun ini bukan sahaja menyajikan makanan yang menyelerakan, malah konsep yang diketengahkan pemiliknya cukup menarik dan lain daripada lain.

Pemiliknya, Mohd Azmie Kassim,56, yang juga dikenali sebagai Tokmie berkata, kedai makan itu berkonsepkan sebuah warung klasik zaman nenek moyang dahulu.

“Tarikan utama warung ini sudah pastilah kepada struktur binaannya daripada kayu dan menggambarkan warung nenek moyang kita dahulu.

“Misalnya makanan di sini dihidangkan dalam talam mengkuang. Ini sudah tentu mengembalikan kenangan dulu-dulu bersama datuk dan nenek di kampung.

“Dari segi hiasan dalaman, kami mengetengahkan konsep Melayu seperti alas meja kain batik, tudung saji mengkuang, lesung batu, basikal tua, motosikal jenis vespa dan banyak lagi,” katanya.

TOKMIE sentiasa memastikan yang terbaik buat pelanggan

Menurut Tokmie, warung klasik itu menawarkan lebih 50 menu cita rasa tempatan.

“Antara menu di sini termasuklah aneka tomyam serta sup, masakan panas, kerabu sotong, kerabu Maggi, paprik, black pepper,ikan masak tiga rasa, ikan masak stim dan banyak lagi.

“Untuk famili, kami ada menyediakan set makanan yang terdiri daripada nasi putih, ikan, telur dadar, Tomyam campur, kailan ikan masin, jus buah dan sebagainya,” jelasnya lagi.

TOKMIE Tomyam Station turut digemari oleh para selebriti seperti Chef Ismail dan pengacara popular Dee.

Tokmie juga menjanjikan keselesaan kepada para pelanggan walaupun kedai makannya itu berkonsepkan warung.

“Walaupun konsep warung, kami tetap mengutamakan keselesaan. Andai kata cuaca panas pun, warung kami tetap sejuk kerana mempunyai kipas yang mencukupi.

“Kami juga menyediakan kemudahan seperti tandas, surau, parkir yang luas dan sebagainya,” ujarnya.

ANTARA menu istimewa di Tokmie Tomyam Station

Walaupun ekonomi negara kurang memberangsangkan, Tokmie percaya pelaburan yang dipertaruhkan berbaloi.

“Saya tak kisah berhabis untuk memberikan yang terbaik. Apa yang penting adalah menu makanan yang digemari ramai serta tempat makan yang selesa.

“Makanan adalah keperluan wajib kita dalam apa jua keadaan. Tinggal lagi saya perlu mempromosi warung ini dan menjaga kualiti makanan,” tambahnya.

Tokmie Tomyam Station yang mampu memuatkan seramai 100 orang pada satu-satu masa juga bersedia menjadi lokasi majlis keraian seperti perkahwinan, kenduri kesyukuran dan sambutan hari lahir.

Tokmie Tomyam Station beralamat di 67, Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Baru berhadapan Madrasah Rajaiyah.

Kedai yang mempunyai pemandangan menara berkembar KLCC ini beroperasi setiap hari bermula pukul 4 petang hingga 12 malam.

Sempena Ramadan, waktu operasi dilanjutkan sehingga pukul 3 pagi.

Untuk maklumat lanjut boleh layari Facebook dan Instagram: Tokmie Tomyam Station

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas