Berita

TLDM urus kepulangan 15 anggota PPLMS TLDM

- Diterbit 30 Januari 2020 7:50 AM MYT

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggota Pasukan Projek Littoral Mission Ship (LMS) TLDM (PPLMS TLDM) dari Qidong, Shanghai, China dalam masa terdekat.

Markas Tentera Laut dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak terbabit dan memantau perkembangan terkini di China.

“Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan Koronavirus (2019-nCoV) melibatkan warga TLDM, walaubagaimanapun sebagai langkah keselamatan TLDM akan menguruskan pergerakan pulang anggota terbabit.

“Pemantauan rapi sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa dan TLDM amat prihatin terhadap kebajikan warganya terutama dari segi aspek kesihatan,” katanya.

Menurut Markas Tentera Laut, seramai 42 anggota lagi sudah pulang ke Malaysia susulan cuti perayaan Tahun Baru Cina sejak 17 Januari lalu.

Ujarnya, keseluruhan warga TLDM yang terlibat secara terus dengan projek tersebut adalah 57 orang.

Pada 23 Mac 2017, kerajaan Malaysia menandatangani Kontrak Perolehan empat buah LMS dengan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) yang melibatkan kesemua empat buah kapal dibina di Wuhan, China.

Susulan itu, bagi tujuan pemantauan projek pembinaan kapal di Wuhan, TLDM menubuhkan PPLMS TLDM sejak 8 Jul 2017 yang dianggotai seramai 12 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat.

TLDM turut menghantar 45 warga Kapal LMS Kedua (SUNDANG) sejak 5 Nov tahun lalu ke Qidong, Shanghai bagi mengikuti latihan penyesuaian dan seterusnya membawa pulang SUNDANG ke Malaysia pada pertengahan April tahun ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas