Berita

KTM buka platform baharu di Stesen Batu Caves

ZAIN (tengah) bersama-sama barisan pegawai tertinggi KTM menunjukkan bagus selepas melancarkan perkhidmatan 24 jam di Stesen Batu Caves di sini hari ini.
- Diterbit 30 Januari 2020 8:36 AM MYT

KUALA LUMPUR – KTM buka platform baharu di Stesen Batu Caves di sini bermula 7 Februari bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aliran keluar masuk penumpang.

Ketua Kawalan Operasinya, Mohd. Zain Mat Taha berkata, pembukaan itu khusus bagi perkhidmatan Batu Caves–Sentul–Batu Caves.

Ujarnya, selain itu, sistem tiket baharu dan laluan khas turut disediakan bagi tujuan tersebut.

“Perkhidmatan Komuter shuttle antara Batu Caves dan Sentul akan turut disediakan dengan kekerapan setiap 30 minit, bermula 5.45 pagi sehingga 9.36 malam.

“Dari Stesen Sentul, bas-bas perantara disediakan bagi penumpang meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral dan kadar tambang bas RM1 dikenakan bagi penumpang dewasa.

“Manakala tiket percuma bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun dan pemegang tiket konsesi dua hala (warga emas dan orang kelainan upaya (OKU)),” katanya ketika berucap dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Zain memberitahu, tiket bas boleh dibeli di Stesen Sentul dan orang ramai disaran menggunakan perkhidmatan Komuter shuttle bagi menggelakkan menunggu lama dan bersesak di ruang menunggu Stesen Batu Caves.

Katanya, kaedah pembayaran tambang Komuter secara ‘cashless’ menggunakan Komuter Link dan Touch n Go diteruskan.

Jelasnya, tambang diskaun 50 peratus masih diguna pakai bagi penumpang warga emas,
OKU, kanak-kanak berumur dua tahun hingga enam tahun manakala percuma bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.

Selain itu, ujarnya, orang ramai yang menggunakan perkhidmatan Grab bermula di Stesen KTM Komuter terpilih boleh menggunakan kod promosi KTMBC2020 bernilai RM5, bermula 7 hingga 9 Februari ini.

“Pengguna digesa memuat turun aplikasi MYRail Time bagi mendapatkan maklumat tepat tentang masa perkhidmatan Komuter. Ia memudahkan para penumpang merancang perjalanan masing-masing.

“Perjalanan ke Stesen Batu Caves akan menjadi lebih mudah sekiranya penumpang bermula dari Stesen Sentul, Batu Kentonmen, Kampung Batu atau Taman Wahyu mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas