Berita

Tingkat hasil pemasaran produk

USAHAWAN wanita turut serta menjual produk kraftangan dalam Program Usahawan Wanita 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 12 Disember 2019 4:31 AM MYT

Oleh MD KHAIRUL AZAD YUNUS

LABUAN – Usahawan pada abad ini diseru untuk meng­aplikasikan teknologi dalam perniagaan bukan sahaja dari segi penge­luaran tetapi dalam memasarkan produk.

Penolong Pengarah, Jabatan Sosioekonomi Perbadanan Labuan (PL), Muhammad Rizal Ahmad berkata, kursus berkaitan perlu dibuat bagi memastikan usahawan berkeupayaan memasarkan produk dengan lebih efisien.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya pada masa akan datang.

“Tanpa minat dan kesediaan untuk menyertai peluang-peluang yang ada, usaha ini tidak akan berjaya.

“Kerajaan yakin sekiranya para usahawan dapat terus berusaha memaju diri dan sentiasa mahu memperbaiki produk-produk yang dihasilkan, ia mampu mengeluarkan produk bermutu serta berdaya saing sehingga ke pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Program Usahawan Wanita 2019 Anjuran Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 2 di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi MPP Sub Zon 2, Kim Hock Chuntuah@Mohd. Firdaus berkata, penganjuran program itu bertujuan memperkenal, mempromosi dan memasarkan produk-produk keluaran usahawan wanita tempatan di Labuan.

Jelas beliau, ia adalah sejajar dengan pelaksanaan program teras di bawah biro ekonomi dan keusahawanan.

“Pelbagai bentuk jualan yang disediakan para usahawan seperti sambal ikan kekek, sambal tumis, pelbagai jenis kek lapis, kuih muih, kerepek serta kraftangan.

“Karnival Usahawan Wanita 2019 merupakan strategi yang sangat baik untuk menerap dan membudayakan nilai keusahawanan kepada semua golongan termasuklah usahawan muda,” ujarnya.

Terdahulu, antara pengisian lain pada program itu adalah Pertandingan Model Cilik Busana Tradisi, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Bintang Karaoke, Pertandingan Make Up Mua, pertandingan gubahan dan gerai jualan serta pameran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas