Berita

Senario kerjasama agensi atasi ancaman ‘Militan’ dipuji

SEORANG mangsa yang dineutralkan oleh pasukan Hazmat.
- Diterbit 12 Disember 2019 4:29 AM MYT

Oleh MD KHAIRUL AZAD YUNUS
Foto JEFFREY NIAN

LABUAN – Menyedari ancaman militan yang semakin membimbangkan, satu senario yang melibatkan pelbagai agensi diadakan di Convention Hall, Kompleks Ujana Kewangan di sini baru-baru ini.

Senario yang melibatkan beberapa agensi antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Penerangan diadakan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai bagaimana golongan militan bertindak dan cara agensi kerajaan menanganinya.

Acara tersebut bermula sekitar pukul 9 pagi semasa satu acara di Kompleks Ujana Kewangan yang dihadiri 1,000 orang tiba-tiba digemparkan dengan kejadian kebakaran di kawasan koridor Convention Hall dan pada masa terdapat seorang mangsa pengsan.

Susulan itu, pihak keselamatan bangunan kemudiannya mengaktifkan pelan tindakan kecemasan kebakaran bagi proses pengungsian bangunan dan pada masa sama menghubungi bomba serta polis apabila kebakaran sukar dikawal.

Dua puluh minit selepas itu, salah seorang pengawal keselamatan yang ditugaskan memeriksa laluan kecemasan orang ramai jatuh pengsan setelah memeriksa sebuah beg yang ditinggalkan di hadapan bank berhampiran yang dipercayai mengandungi bahan kimia.

AKSI pasukan pemusnah bom yang hadir selepas dimaklumkan terdapat bom di dalam beg hitam.

Pasukan Hazardous Material Unit Team (Hazmat) JBPM Labuan yang tiba tidak lama selepas itu menyelamatkan mangsa dan menjalankan proses dekontaminasi serta mengawal tempat kejadian.

Bagaimanapun, dalam tempoh kurang satu jam, satu lagi ancaman dikenal pasti iaitu satu beg hitam dipercayai diisi bom diletakkan berhampiran sebuah motorsikal.

Situasi mencemaskan itu menyebabkan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dikejarkan ke lokasi bagi meneutralkan beg tersebut dan pemeriksaan lanjut dilakukan pasukan Hazmat yang turut mengesahkan beg tersebut bebas dari bahan letupan serta bahan kimia.

Ekoran situasi tegang, Jabatan Penerangan Labuan membuka Pusat Media Sementara yang bertujuan mengawal pasukan media yang membuat liputan serta membantu menyalurkan maklumat sahih kepada umum sekali gus menangkis sebarang maklumat tidak tepat yang ditularkan pihak tertentu mengenai insiden itu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad yang turut bertindak selaku Komander Operasi mengadakan sidang media sejurus semua ancaman dapat dineutralkan sepenuhnya.

Ia juga menandakan berakhirnya senario Latih Amal Ancaman Keselamatan anjuran Majlis Keselamatan Negara dengan kerjasama Financial Park (Labuan) Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Muhamad Farid memberitahu, latih amal berkenaan merupakan inisiatif yang sangat baik serta membolehkan pelbagai agensi mempelajari selok-belok menangani ancaman keselamatan dengan berpandukan Arahan MKN No.20.

Sementara itu, Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah berkata, latih amal itu merupakan pertama kali diadakan dengan kerjasama PDRM untuk mengenal pasti tempat-tempat berisiko dan Kompleks Ujana Kewangan dipilih sebagai lokasi latihan kerana menjadi kawasan tumpuan.

“Antara tujuan lain adalah memberi kesedaran kepada penduduk tempatan tentang risiko ancaman yang ada selain menguji kesiapsiagaan agensi-agensi keselamatan dalam menangani situasi-situasi tertentu,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas