Berita

YWP saman Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur

- Diterbit 22 November 2020 10:32 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) akan mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh yang telah menyalahgunakan kedudukannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk membuat tuduhan tidak benar.

Tegas YWP, pihaknya tidak mempertikaikan dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap PAC sebaliknya ke atas Kah Woh berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang.

“YWP berhak mempertahankan diri terhadap tiga kenyataan Kah Woh yang dilihat berniat menjatuhkan kredibiliti YWP iaitu kenyataan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur secara otomatik dilantik menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah serta terlibat dalam penjualan tanah-tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kenyataannya yang mengaitkan penglibatan YWP di dalam penjualan 97 tanah DBKL termasuk penjualan tanah Taman Rimba Kiara dan kenyataan ketiga yang menyatakan YWP sebagai sebuah syarikat yang didaftar di bawah Akta Syarikat tidak dipantau oleh sebarang pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, YWP menafikan segala pertuduhan tersebut sekeras-kerasnya dan mempertahankan nama baik pertubuhannya agar dapat meneruskan usaha membantu warga Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan serta memerlukan, selaras tujuan penubuhannya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas