Berita

MPP Sub Zon 5 jalin kerjasama, bantu masjid dan surau setempat

KAMARUDIN Jaffar (dua dari kanan) menyerahkan bantuan tunai RM1,000 kepada salah seorang daripada 11 wakil Pengerusi Masjid dan Surau di sekitar Bandar Tun Razak. KAMARUDIN Jaffar (dua dari kanan) menyerahkan bantuan tunai RM1,000 kepada salah seorang daripada 11 wakil Pengerusi Masjid dan Surau di sekitar Bandar Tun Razak.
- Diterbit 1 November 2021 5:30 AM MYT

USAHA terpuji oleh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 5 Bandar Tun Razak dengan kerjasama MrBurn Gemstone, menghasilkan manfaat bagi 11 masjid dan surau di kawasan setempat.

Inisiatif diambil dengan usahasama pihak swasta itu membolehkan setiap masjid dan surau meraih bantuan tunai masing-masing sebanyak RM1,000 untuk membiayai aktiviti kariah yang diwakili.

Menurut Pengerusi MPPWP Sub Zon 5, Farouk Mohd Noor, usaha mendanai masjid dan surau itu diambil setelah memikirkan kekangan kewangan dihadapi institusi sepanjang tempoh PKP, telah membataskan pelaksanaan program komuniti.

Katanya, disebabkan kutipan tabung dan sedekah susut dengan ketara, masjid dan surau terpaksa hentikan atau mengurangkan bantuan penduduk memerlukan di kawasan masing-masing selain tidak dapat gerakkan aktiviti kemasyarakatan.

“Jadi dengan adanya usaha ini, kami berharap ia dapat menampung keperluan perbelanjaan bagi 11 masjid dan surau di bawah Sub Zon 5, Bandar Tun Razak ini.

“Bantuan tunai hasil sumbangan ikhlas syarikat Mr Burn Germstone dan beberapa lagi individu ini secara langsung menjadi pemacu terpenting bagi mengimarahkan aktiviti di kawasan kariah seperti gotong-royong selain bantuan barangan kepada penduduk memerlukan,” katanya.

Sesi serahan sumbangan kepada masjid dan surau oleh MPPWP Sub Zon 5 Bandar Tun Razak dan Mr Burn Germstone turut dihadiri Ahli Parlimen, Datuk Kamarudin Jaafar ditemani Ketua Umno Bahagian, Datuk Rizalman Mokhtar.

Sementara itu, Kamarudin juga Timbalan Menteri Luar menzahirkan rasa syukur dan memuji usaha proaktif MPPWP Sub Zon 5 menyantuni komuniti disifatkannya sebagai tepati peranan selaku wakil masyarakat dan penghubung kepada kerajaan.

Alhamdulillah program serahan dana kepada 11 masjid dan surau sekitar MPPWP Sub Zon 5 hari ini berjalan lancar. Saya ucap terima kasih kepada yang terlibat, semoga usaha ini memanfaatkan warga Bandar Tun Razak,” katanya yang sempat meluang masa beramah dengan wakil pengerusi masjid dan surau terbabit.

Dalam pada itu, Farouk menyatakan, pelaksanaan program hasil usaha sama swasta amat kondusif dan berharap semoga lebih banyak pihak syarikat swasta dan korporat tampil bersama-sama pada masa hadapan untuk turun padang menjayakan program CSR dengan penglibatan langsung dari komuniti setempat atau rakyat terbanyak. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas