Berita

‘Cheminah’ rasmi Festival Busana Tradisional Kuala Lumpur 2019

TENGKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) melancarkan gimik perasmian Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019 di Istitut Latihan DBKL Cheras. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 20 Oktober 2019 1:57 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli merasmikan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur 2019 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini semalam.

Ketibaan Tunku Azizah bersama Puteri baginda, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah disambut isteri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datin Rabithah Zakariah dengan disajikan muzik tradisional gamelan serta persembahan tarian pembukaan oleh artis budaya dari DBKL.

Baginda kemudian berkenan merasmikan festival tersebut dengan meletakkan tangan baginda ke atas skrin sebagai simbolik perasmian.

Dalam pada itu, Baginda bertitah, sebagai seorang yang begitu memartabatkan warisan tradisional dan meminati hasil kraf, baginda pasti akan hadir ke festival berkenaan.

Usai pelancaran, Permaisuri Agong menerima persembahan tengkolok berwarna hitam bertekad benang emas yang direka khas untuk baginda sebagai tanda menjunjung kasih atas kehadiran baginda ke majlis tersebut.

Selepas gimik pelancaran selesai, Tunku Azizah turut berkenan melihat peragaan busana kira-kira 30 minit.

Sebelum baginda dan anakandanya berangkat meninggalkan majlis, baginda berkenan meluangkan masa lebih 20 minit untuk melawat reruai yang mempamerkan hasil batik, tenunan dan produk kraf yang lain.

Festival yang memasuki tahun ke tiga itu menghimpunkan kira-kira 50 pereka fesyen tempatan dari seluruh negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas