Berita

Tiga lelaki warga asing didenda RM700, naik kenderaan lebih dua orang

- Diterbit 3 November 2020 8:26 AM MYT

AKIBAT menaiki kenderaan persendirian melebihi dua orang semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tiga lelaki warga asing masing-masing didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap dua warga Myanmar, Thaung Myint, Md Nay Lin dan warga Bangladesh Sabbir Bhuiyan masing-masing berumur antara 39 dan 35 tahun, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga Orang Kena Saman (OKS) itu menjalani hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berada dalam kenderaan persendirian melebihi dua orang dalam kawasan tempatan jangkitan yang bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No 8) 2020 di sekatan jalan raya di hadapan Bangunan One Maxim, Jalan Sentul di sini, pada 9.30 pagi, 20 Okt lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 11(1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Bagaimanapun, peguam P.Suthes yang mewakili semua OKS memohon hukuman denda minimum atas alasan ketiga-tiga anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas