Berita

Bekas suami Datuk Seri Vida fail permohonan hadanah terhadap dua anak

- Diterbit 3 November 2020 7:50 AM MYT

BEKAS suami kepada jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali Datuk Seri Vida, memfailkan permohonan hadanah atau hak penjagaan terhadap dua anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Peguam Mohd Zaki Zainal Abidin yang mewakili bekas suami usahawan itu, Mohd Amin Yasin, 42, berkata permohonan itu difailkan 21 Okt lepas, bagi menuntut hak lawatan, bermesra serta bermalam bersama anak-anaknya iaitu Nur Edlynn Zamileen Mohd Amin atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Cik B’, 15, dan Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin, atau nama panggilan ‘Kacak’, 13.

“Tuntutan ini bukannya hendak mengambil hak penjagaan sepenuhnya. Ia dibuat kerana kerinduan lama yang ditanggung seorang bapa kandung yang tidak dapat bermesra dengan anaknya. Bapa (Mohd Amin) juga tidak dapat berjumpa dengan anaknya hampir dua tahun dan terpaksa mendapatkan permohonan di mahkamah,” katanya.

Mohd Zaki memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Datuk Abu Bakar Abdullah Kutti, hari ini.

Bagaimanapun katanya, prosiding itu tidak dihadiri Vida, 49, selaku defendan, dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Nov ini dengan memerintahkan kehadiran plaintif, defendan serta kedua-dua anak mereka pada tarikh berkenaan.

Sementara itu, Mohd Amin ketika ditemui mendakwa sudah hampir dua tahun beliau tidak dapat berjumpa mahupun bersua muka dan meluangkan masa bersama Cik B dan Kacak, sejak beliau mendirikan rumah tangga bersama isteri baharu pada November 2018.

“Selepas bercerai (dengan Vida) saya ada berjumpa dengan anak-anak di rumah mereka di Meru, Ipoh, Perak, tetapi itu pun jarang-jarang mungkin dalam dua atau tiga bulan sekali dan ada terpaksa curi-curi jumpa di luar pagar rumah. Bila mesej dan telefon tidak dibalas atau dijawab panggilan,” kata peniaga kedai makan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas