Berita

Fikirlah: Berita palsu dan COVID-19, sekadar ambil berat atau mahu jadi ‘citizen journalist’?

- Diterbit 4 November 2020 3:22 AM MYT

“PERHATIAN, di sini sudah ada beberapa kes COVID-19, penduduk diminta jangan keluar ke rumah dan elak mengunjungi kawasan-kawasan tersebut kerana dikhuatiri akan dijangkiti wabak berkenaaan, #kitajagakita,”

Awal pagi lagi penulis menerima pesanan Whatsapp dalam bentuk ‘forwarded message’ daripada seorang kenalan untuk mengesahkan sama ada berita itu sahih ataupun tidak.

Sebagai seorang wartawan dan pengamal media, pastinya penulis berasa panas hati terhadap perkongsian itu yang tidak mempunyai sumber sahih dan tidak ditapis terlebih dahulu yang boleh menimbulkan panik kepada sesiapa sahaja yang menerimanya.

Apatah lagi dalam perkongsian itu tidak dinyatakan sumber ataupun dari mana maklumat itu didapati dan ia turut disebarkan secara meluas dalam media sosial dan aplikasi Whatsapp, lebih-lebih lagi ketika masyarakat global berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.

Secara umumnya, dengan perkembangan teknologi masa kini yang begitu canggih sehingga apa sahaja maklumat boleh diakses di hujung jari, tidak hairanlah berita palsu atau sumber masih belum disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa disebarkan secara meluas sehingga menimbulkan ketidaktenteraman semua pihak.

Isu penularan berita palsu ini bukan sesuatu yang baharu dalam negara kita, malah ia dirasai di peringkat global apabila aplikasi antarabangsa Whatsapp turut mengenakan batasan baharu dalam penghantaran mesej bagi mengetatkan pengawasan potensi untuk menyebarkan maklumat palsu dan tidak tepat mengenai COVID-19, pada 2 April lepas.

Ketika negara berdepan krisis COVID-19 dan petugas barisan hadapan bertungkus-lumus berusaha mengekang penularan wabak itu, kini berita palsu dan maklumat tidak tepat pula menjadi ‘mimpi ngeri’, ditambah pula dengan pergolakan politik negara yang membolehkannya disebarkan secara tidak terkawal.

Lebih membimbangkan apabila berita palsu yang berleluasa dalam media sosial itu turut memetik nama Yang di-Pertuan Agong dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan menimbulkan kekecohan masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik, baru-baru ini.

Terbaharu, pada 26 Okt lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan pihaknya memanipulasi data pandemik COVID-19 untuk memberi laluan kepada pengumuman darurat oleh seorang ahli politik dan menyatakan ia diperoleh dengan menggunakan sistem informasi maklumat kesihatan awam di setiap negeri.

Beliau turut menyifatkan penularan berita palsu yang dilihat jauh lebih pantas daripada penularan wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat berikutan ramai yang mahu ‘mengambil alih’ tugas wartawan dengan menyebarkan maklumat tanpa batas masa.

Sesiapa sahaja pasti teruja apabila dapat menjadi ‘penyebar pertama’ dalam berkongsi apa jua yang dilihat ataupun diterima orang di sekeliling mereka sebelum sesuatu berita sahih itu disiarkan dalam portal rasmi ataupun akhbar.

‘Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang?’ Begitulah pandangan sesetengah pihak yang masih mempertahankan tindakan penyebaran maklumat belum sahih kepada orang ramai kerana memperlekehkan kerjaya wartawan yang bertanggungjawab menyampaikan berita kepada mereka.

Lebih menyedihkan ada pula ‘pengirim’ dan ‘penerima’ terdiri daripadqa golongan warga emas yang mendakwa kongsian itu hanya sekadar ‘mengambil berat’ orang di sekeliling mereka sehinggakan alpa terhadap kesahihan dan sumber sebenar.

Malah ada yang menyebarkan mesej berbaur hasutan bahawa media arus perdana sudah tidak relevan lagi menyebabkan masyarakat lebih mempercayai khabar angin daripada berita sahih.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, perjuangan menghentikan berita palsu adalah jauh daripada berakhir dan masyarakat perlu dididik setiap hari menerusi pelbagai platform termasuk media sosial dan media arus perdana dalam negara.

“Kerajaan telah menyediakan pelbagai platform bagi membanteras maklumat palsu daripada disebar secara meluas di negara ini, contohnya, ‘Sebenarnya.my’ oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) apabila mereka mengesyaki akan kesahihan sesuatu maklumat.

“Jika mereka terus menerus berkongsi dan viralkan dalam media sosial, ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara malah menjejaskan keharmonian masyarakat kerana menimbulkan rasa benci antara satu sama lain apabila maklumat itu adalah palsu,” katanya kepada Bernama.

Budaya penularan berita palsu akan mewujudkan kognitif negatif dalam kalangan masyarakat apabila timbulnya elemen panik, keterujaan dan permainan emosi yang akhirnya membawa kepada perpecahan dalam kalangan mereka.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan masa dihabiskan dengan melayari internet serta media sosial, oleh itu masyarakat akan mula bertindak sensitif dan tidak dapat mengawal emosi mereka apabila sesuatu berita itu membuatkan mereka hilang kewarasan untuk mengenal pasti ia sahih ataupun tidak.

“Ketika kerajaan dan barisan hadapan sedang bertungkus lumus berperang dengan ancaman COVID-19, penyebaran maklumat palsu itu bukan sahaja boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam membanteras pandemik itu malah boleh membawa kemudaratan kepada negara terutama dari segi ekonomi dan sosial,” katanya.

Dr Noor Nirwandy berkata, hanya agensi berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara, KKM dan SKMM yang menyampaikan data dan berita sahih berdasarkan sistem pengumpulan data serta diiktiraf oleh pakar.

“Masyarakat seharusnya tidak timbul syak wasangka dan perlu yakin terhadap segala maklumat yang dikeluarkan oleh agensi berkenaan kerana apa yang disiarkan oleh mereka akan ditapis dan disahkan terlebih dahulu.

“Tiada istilah maklumat palsu ataupun agenda di sebalik agensi berkaitan yang bertujuan untuk menyembunyikan fakta seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab kerana apa yang dilaporkan oleh mereka, itulah maklumat sahih,” katanya.

Penyebaran berita palsu bukan sahaja menggugat keselamatan negara, malah boleh mencemarkan imej agensi berita dan media arus perdana apabila masyarakat tidak lagi bergantung kepada sumber sahih malah lebih mempercayai khabar angin yang belum dipastikan kesahihannya.

Dr Noor Nirwandy berkata, media arus perdana dan portal berita juga harus memainkan peranan menyampaikan maklumat sahih dengan mendapatkan penjelasan professional serta data yang disahkan oleh pakar dalam pelbagai bidang.

“Contohnya, isu penularan wabak COVID-19, wartawan perlu mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pakar kesihatan dan KKM untuk menyampaikan berita tepat seterusnya memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa sumber yang boleh dipercayai adalah daripada mereka,” katanya.

Kerajaan menerusi SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berganding bahu menerusi Jawatankuasa Jenayah Siber dalam menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutamanya berkaitan COVID-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

Menurut SKMM, penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jika masyarakat ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita selain mahu mendapatkan maklumat terkini, mereka dinasihati melayari portal Sebenarnya.my atau sertai saluran Telegram Sebenarnya.my di pautan https://t.me/sebenarnyamy.

Jika anda mengambil berat akan kesihatan dan keselamatan terhadap diri dan orang tersayang di sekeliling anda, apa kata kita bersama-sama menyahut seruan kerajaan dengan membudayakan amalan ‘Jika Tidak Pasti, Jangan Kongsi’. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas