Utama

29 PALAPES Udara, 3 jurulatih cedera kenderaan hilang kawalan

KEADAAN kenderaan tiga tan yang terbalik berikutan kegagalan fungsi brek semasa menuruni Bukit Jugra selepas selesai menghantar barang-barang di kawasan Hutan Bukit Jugra, semalam.
- Diterbit 28 Januari 2020 2:16 PM MYT

KUALA LUMPUR – Markas Tentera Udara mengesahkan berlaku insiden kemalangan melibatkan sebuah kenderaan tiga tan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang kawalan kerana kegagalan fungsi brek semasa menuruni Bukit Jugra selepas selesai menghantar barang di kawasan Hutan Bukit Jugra.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang tadi, melibatkan pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Udara dan jurulatih yang merupakan kumpulan pendahuluan (advance party) untuk persediaan fasa Latihan Medan bagi Latihan Kem Tahunan PALAPES Udara yang bermula esok.

Markas Tentera Udara dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 29 pegawai kadet PALAPES Udara bersama tiga jurulatih mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Banting serta Hospital Klang, Selangor.

“Pegawai Memerintah dan pegawai perubatan dari Rejimen TUDM Bukit Jugra turut membantu memantau keadaan mangsa kemalangan tersebut.

“TUDM akan sentiasa memastikan pemantauan berterusan dan memberi bantuan yang sebaiknya kepada semua yang terlibat. Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas