Utama

Tiga beranak rentung

RENTUNG
PASUKAN bomba memeriksa kawasan kebakaran di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, dekat Slim River, Perak awal pagi tadi
- Diterbit 19 Ogos 2019 4:01 AM MYT

PUTRAJAYA – Tiga beranak termasuk bayi berusia hampir satu tahun maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, dekat Slim River, Perak awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mangsa, Mohd. Sharidan Abdul Aziz, 30, dan isterinya, Siti Rafini Mohd. Rafiee, 30, bersama anak mereka Rafiq Mohd.Sharidan, 1, ditemukan rentung di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden, Azman Ab. Rahman berkata, panggilan telefon dari Ibu Pejabat Polis Daerah Mualim Perak berhubung kebakaran berkenaan diterima pada pukul 4.50 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati keseluruhan struktur rumah iaitu separuh batu dan separuh papan telah hangus serta berjaya dipadamkan oleh Bomba Slim River dan Kuala Kubu Baru.

“Tiga mayat kebakaran ditemukan di dalam salah satu bilik di rumah tersebut dan keadaan ketiga-tiga mangsa rentung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat.

Tambahnya, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan pihaknya sedang menunggu laporan dari Unit Forensik Bomba. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas