Fokus

Tiga aspek penting elak nahas

- Diterbit 4 April 2024 1:50 PM MYT

TREND kemalangan jalan raya membabitkan motosikal khususnya di Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan sejak kebelakangan ini.

Pelbagai inisiatif dijalankan oleh kerajaan menerusi agensi berkaitan namun kesedaran tentang aspek keselamatan serta punca yang mendorong berlakunya kemalangan itu masih lemah.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata kadar kemalangan motosikal ini boleh dikurangkan jika tiga aspek penting diutamakan.

“Tiga punca berlakunya kemalangan ini dapat dilihat melalui keadaan jalan raya, sikap pemandu kenderaan serta tingkah laku penunggang motosikal sendiri.

“Jika dilihat, bilangan kematian melibatkan motosikal ini sudah lama meningkat hampir 60 peratus. Ia boleh dirungkai melalui tingkah laku sesetengah penunggang yang tidak menitikberatkan aspek keselamatan terutama ketika memandu di jalan raya utama (jalan besar).

“Tidak dinafikan masyarakat masa kini gemar menunggang pacuan dua roda itu terutama golongan remaja kerana ia lebih murah berbanding kereta selain cepat dan mudah untuk bergerak.

“Namun, golongan inilah yang berisiko tinggi kerana ia berkait dengan sikap atau cara pemanduan mereka di mana kita tahu motosikal ini kecil dan susah diketahui pergerakannya terutama ketika di jalan raya mahupun di simpang jalan,” katanya.

Selain itu, Dr Law berkata keadaan laluan atau lorong motosikal yang tidak selamat, gelap dan berlubang juga menjadi faktor kemalangan motosikal.

“Saya dapat banyak aduan daripada penunggang motosikal berkenaan laluan gelap, dinaiki air ketika banjir serta turut berlakunya kes rompakan, jadi mereka tidak gunakan laluan tersebut.

“Selain itu, kemalangan motosikal ini juga turut berkait dengan laluan kecemasan kerana kebanyakan penunggang menganggap ia adalah laluan motosikal tetapi hakikatnya tidak.

“Bila ada tanggapan seperti ini, tidak hairanlah kenapa motosikal terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap usaha memberi pendedahan kepada penunggang serta pembonceng motosikal tentang aspek pemanduan, pemakaian selamat serta tingkah laku boleh dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas