Berita

Tidak perlu sambut ahli keluarga di lapangan terbang, semua akan dikuarantin

RAKYAT Malaysia baru pulang dari luar negara akan dikuarantin di tempat yang ditetapkan kerajaan. Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mac 2020 10:15 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua rakyat negara ini yang pulang dari luar negara akan dikuarantinkan selama 14 hari di tempat khas mulai 3 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tertakluk mereka yang menggunakan pesawat khas bagi kumpulan yang dibawa pulang selepas terkandas di negara tertentu akibat Covid-19.

Katanya, kuarantin juga dikenakan bagi mereka yang menaiki pesawat penerbangan komersial.

“Langkah ini dipersetujui susulan kebanyakan negara menunjukkan pertambahan positif Covid-19 akibat kepulangan rakyat mereka dari luar negara.

“Walaupun Wuhan, China misalnya dapat mengawal Covid-19 daripada terus merebak tetapi difahamkan bila rakyat mereka pulang ke negara mereka berlaku semula kes positif Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, walaupun kerajaan menasihatkan mereka yang tinggal di luar negara seperti pelajar tidak perlu pulang dan berada di negara tersebut namun ada yang berhasrat untuk pulang.

Justeru beliau menegaskan, mereka yang tiba di lapangan terbang akan dibawa terus menaiki bas ke pusat kuarantin sebelum disaring Kementerian Kesihatan dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Jadi, saya menasihatkan kepada ahli keluarga supaya tidak hadir ke lapangan terbang bagi menyambut mereka kerana kesemuanya akan dibawa terus ke pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

“Ibu bapa masih boleh menghubungi mereka melalui panggilan telefon dan sebagainya sepanjang kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Jelas beliau, sebuah kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan 100 buah bas percuma bagi memudahkan proses ke pusat kuarantin itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas