Berita

Agong, Permaisuri berkenan potong enam bulan emolumen diraja

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah
- Diterbit 31 Mac 2020 8:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan Malaysia tidak membayar emolumen diraja selama enam bulan bermula Mac hingga Ogos tahun ini.

Perkara itu diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Seri Paduka berdua berkenan membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 di samping menyahut keputusan pemotongan dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke dalam Tabung Covid-19.

“Perkenan Seri Paduka berdua turut mencerminkan keprihatinan dan keperibadian tinggi terhadap perkembangan terkini pandemik ini serta situasi kewangan negara,” katanya.

Tambah Ahmad Fadil, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sempena sambutan Hari Doktor Sedunia semalam, baginda berdua menzahirkan penghargaan kepada doktor dan petugas kesihatan khususnya di barisan hadapan atas khidmat bakti serta pengorbanan tanpa penat lelah dalam menjalankan tanggungjawab membendung pandemik ini.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi kerajaan berkait di atas pengiktirafan yang diberikan oleh firma perkhidmatan kewangan terkemuka di dunia baru-baru ini berkenaan tatacara pengendalian Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersama baginda untuk terus berdoa memohon ihsan Allah semoga Malaysia sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya serta pandemik berakhir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas