Berita

77 Pasar Tani, pusat jualan barang segar FAMA dibuka

PASAR Tani yang dibenar dibuka hanya dibenar menjual barang basah. Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mac 2020 10:34 AM MYT

PUTRAJAYA – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mewujudkan pusat jualan barangan segar termasuk pasar tani secara terkawal di 77 buah lokasi di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah ini sebagai alternatif berikutan kesesakan dialami di pasar basah pagi disebabkan tiada banyak tempat pilihan untuk membeli barangan basah.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan penjarakan sosial berlaku ketika urusan jual beli.

“Barangan yang dijual hanya melibatkan barangan basah.

“Kalau dulu pasar tani menjual pakaian, makanan dan sebagainya, kali ini menumpukan barang-barang basah semata-mata seperti ikan dan sayur,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan cadanganoutlet yang dibuka iaitu 10 pasar tani terpilih, pasar tani kekal (16), pusat operasi FAMA (17), MyFarm Outlet (3), kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan kompleks jabatan dan agensi berkaitan.

Beliau turut memberitahu, waktu operasi pasar tani terpilih adalah dari pukul 8 atau 8.30 pagi sehingga 11 pagi atau 12 tengah hari yang beroperasi dua kali seminggu.

Sementara itu, pusat operasi pasar tani (FAMA) dari pukul 8 atau 8.30 pagi hingga 12 tengah hari atau 4 petang setiap hari ini.

“Gerai-gerai akan dijarakkan supaya tidak timbul kesesakan dan pintu masuk serta keluar dikawal polis dan tentera,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan pasar basah akan terus beroperasi seperti biasa bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah hari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas