Berita

Dendam Zii Jia berbalas

|
- Diterbit 12 Mac 2020 4:15 PM MYT

KUALA LUMPUR – Dendam berbalas. Itu yang boleh disifatkan oleh jaguh badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia apabila berjaya memadamkan rekod bersih pemain Indonesia, Jonathan Christie ke atasnya setelah mudah menewaskan pemain tersebut dan layak ke pusingan kedua Kejohanan Seluruh England 2020, kelmarin.

Zii Jia yang membuat kemunculan pertama dalam Kejohanan Seluruh England ternyata lebih bersedia dan bersemangat apabila menewaskan lawannya itu menerusi dua set dalam tempoh masa 41 minit yang berlangsung di Arena Birmingham, England.

Set pertama bermula agak sengit apabila kedua-kedua pemain bertukar-tukar mendahului sehingga terikat 9-9 pada satu masa.

Namun, Zii Jia tidak lagi melakukan kesilapan dan terus mendahului dan memenangi set pertama 21-15.

Set kedua menyaksikan Zii Jia jauh meninggalkan lawannya 20-10 dan akhirnya memenangi pertarungan tersebut 21-13 untuk mara ke pusingan kedua mencipta rekod peribadi menewaskan Jonathan buat kali pertama.

Zii Jia, 22 tahun berkata, dia sangat gembira dengan permainan tersebut.

“Empat pertemuan sebelum ini saya tidak pernah menang ke atasnya tetapi berjaya untuk kali kelima,” ujarnya.

Dalam pusingan kedua, Zii Jia akan bertemu pemain China, Lu Guang Zu yang menewaskan pemain Thailand dalam pusingan pertama 21-16 dan 21-19.

“Saya pernah kalahkannya sekali pada Kejohanan Dunia tahun lalu. Saya akan berbincang dengan jurulatih dan berharap dapat bermain dengan lebih baik dari hari ini dan dapat membawa khabar gembira esok, ” tambahnya.

Selain Zii Jia, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik, beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen turut mara ke pusingan kedua setelah menewaskan lawan masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas