Berita

Tidak mustahil 100 peratus setuju

KHALID (kiri) bersama Rosida dalam sidang akhbar khas di Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 15 November 2019 7:15 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD dan NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menepiskan dakwaan bahawa cadangan pembangunan se­mula Kampung Baru hanya me­rupakan ‘wayang’ dari­pada pihak kerajaan.

Malah beliau menegaskan, pihaknya mempunyai ke­yakinan bahawa usaha bagi mendapatkan persetujuan daripada keseluruhan pemilik dan pewaris tanah adalah tidak mustahil.

Perkara itu berdasarkan tiga sebab iaitu pembangunan semula Kampung Baru adalah satu usaha kerajaan bagi memastikan matlamat asal pembuka­an penempatan tersebut kira-kira 100 tahun lalu untuk meningkatkan jumlah orang Melayu tinggal di Kuala Lumpur tercapai.

“Saya yakin boleh dapat persetuju­an pemilik, ia bukan satu wayang te­tapi usaha bersungguh-sungguh untuk cari penyelesaian dan capai matlamat asal serta manfaat kepada pemilik tanah,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mempersoalkan bagaimana Khalid akan mendapatkan 100 peratus persetujuan daripada pemilik tanah serta menganggap ia sebagai wayang.

Khalid berkata, pihak­nya membuat rayuan kepada kepada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru agar memahami dan mengingati semula matlamat asal kampung tradisi itu diwujudkan.

Katanya, tujuan utamanya adalah untuk membolehkan lebih ramai orang Melayu dapat tinggal di ibu negara sejajar dengan populasi penduduk ibu kota yang telah mencecah dua juta orang.

Justeru tegas beliau, dakwa­an bahawa menjual tanah tersebut untuk di­bangunkan merupakan peng­khianatan adalah salah kerana dengan pembangunan yang dirancangkan itu, jumlah orang Melayu akan bertambah di Kuala Lumpur.

“Sekiranya pemilik mengetahui matlamat asal, mereka tidak akan menjadi penghalang sebaliknya bekerjasama supaya matlamat tersebut tercapai,” ujarnya.

Khalid menyatakan, be­liau yakin pemilik akan bersama-sama membangunkan Kampung Baru apabila me­reka menyedari matlamat asal penubuhan penempatan Melayu itu.

“Kampung Baru asalnya tanah anugerah, maknanya kamu diberi percuma, lepas itu ada jual sedikit… tak ada masalah tetapi saya (kerajaan) tawarkan harga paling tinggi.

“Harga RM1,000 se­kaki per­segi sebenarnya ber­samaan RM43.5 juta seekar (0.4 hektar), mana ada tanah orang Melayu yang disyarat pemilikan orang Melayu dibeli dengan harga tersebut.

“Kalau ada tolong tunjuk kepada saya, setakat ini tidak ada, penduduk tidak rugi ke­rana dapat harga tinggi,” kata­nya.

Bagaimanapun, harga ter­sebut katanya tidak wajar dibandingkan dengan tanah di kawasan Menara Berkembar Petronas (KLCC) kerana kadar harga RM3,000 sekaki per­segi se­perti didakwa adalah selepas ia di­bangunkan.

Sementara itu, beliau turut me­nafikan tuduhan pembangkang yang menggelar­nya sebagai ‘broker tanah Kampung Baru’ kerana pro­ses tawaran dan pembelian tanah dibuat secara terbuka dan bukan secara rahsia.

“Dengan membuat tawaran secara terbuka kita telah me­nyahkan sebarang unsur orang tengah.

“Kalau ada broker, harga tanah yang kerajaan nak beli dirahsiakan, jadi broker akan buat tawaran untuk beli pada harga lebih murah, kemudian jual pada kerajaan dengan harga RM850 kaki persegi.

“Ini dulu, sekarang telus, sebab itu mereka (pihak tertentu) marah pada saya ke­rana tak guna orang tengah,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas