Berita

KPKT lancar Dasar Komuniti Negara, 20 PPR dipilih laksana projek rintis Tingkat muafakat selenggara harta awam

ZURAIDA membantu seorang kanak-kanak mencuba menggunakan hos penyembur air bomba pada sesi demonstrasi memadamkan api bersama masyarakat PPR. -Gambar hiasan
- Diterbit 15 November 2019 10:01 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

BAGI mencapai kesejahteraan hidup dan pembangunan mampan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Dasar Komuniti Negara untuk mendaya upaya masyarakat setempat supaya terlibat secara aktif dalam usaha penyenggaraan serta pengurusan harta awam dan harta bersama.

Dasar ini tertumpu kepada lapan kluster iaitu infrastruktur dan penyelenggaraan; kebersihan, alam sekitar dan kesihatan; keselamatan serta pendidikan, kesedaran dan kemahiran; keprihatinan terhadap golongan memerlukan bantuan seperti orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan daif; perkhidmatan sosial; keusahawanan dan perniagaan sosial serta sukan dan rekreasi.

Matlamat akhir dasar ini adalah untuk mewujudkan komuniti dan generasi mampan sejajar dengan objektifnya iaitu mendaya upaya anggota komuniti supaya mempunyai rasa kepunyaan, prihatin terhadap harta benda, ruang dan fasiliti yang dikongsi bersama serta rasa tanggungjawab terhadap komuniti dan kawasan tempat tinggal.

Objektif dasar itu juga adalah untuk membentuk komuniti yang peka terhadap isu-isu komuniti, saling menghormati, menyayangi dan bekerjasama antara jiran tetangga.

Selain itu, ia juga memupuk kerjasama strategik antara komuniti dengan
kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam
membangunkan komuniti di samping melahirkan lebih ramai pemimpin dan sukarelawan dalam kalangan komuniti perumahan berstrata.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Dasar Komuniti Negara dilaksanakan dalam tiga peringkat dengan pertamanya adalah mewujudkan pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti di setiap kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Sekretariat ini merupakan platform untuk memudah cara dan menjalinkan hubungan antara komuniti dengan agensi selain membolehkan mereka menyuarakan masalah-masalah yang dihadapi serta mengemukakan cadangan-cadangan program.

“Peringkat kedua adalah mendaya komuniti menerusi beberapa kaedah
seperti mewujudkan kesedaran dalam kalangan anggota komuniti untuk lebih bertanggungjawab, penglibatan aktif dalam aktiviti atau program pembangunan komuniti secara inklusif, kerjasama strategik dengan pihak-pihak berkepentingan, memastikan kelestarian komuniti yang berdaya maju dan mewujudkan semangat kesukarelawanan yang tinggi,” katanya.

Zuraida berkata, peringkat ketiga pula memberikan fokus kepada pemantauan pelaksanaan melalui lima buah jawatankuasa yang ditubuhkan dengan Ketua Sekretariat Muafakat Komuniti menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja manakala Ketua Komuniti menjadi Pengerusi bagi wakil persatuan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar itu akan diperluaskan secara berperingkat ke PPR lain dan kawasan perumahan selepas penilaian pencapaian dilaksanakan ke atas 20 PPR rintis.

Katanya, antara petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan adalah
peningkatan peratus penduduk membayar sewa, pengurangan kos baik pulih dan penyelenggaraan PPR serta kewujudan komuniti yang lestari.

KEMUDAHAN riadah yang disediakan di PPR perlu dijaga dengan baik bagi membolehkan penduduk memanfaatkannya untuk menjalani gaya hidup sihat.

“Dasar Komuniti Negara ini penting kerana boleh menyumbang kepada
pembentukan sebuah komuniti yang saling memahami, menghormati, menyayangi dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Ini disebabkan ia melibatkan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan komuniti yang menetap di kawasan perumahan,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas