Berita

PKB anjur 205 sesi penerangan untuk pemilik, pewaris

KETUA Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan memberi taklimat berkaitan perancangan pembangunan Kampung Baru pada 7 September lalu. - Gambar hiasan
- Diterbit 15 November 2019 7:11 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi memastikan perancangan pembangunan Kampung Baru berjaya mendapat persetujuan pemilik dan pewaris­nya, Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) akan melakukan ‘jelajah’ bagi menjelaskan perkara tersebut termasuk membabitkan soal tawaran harga pembelian tanah di kawasan itu.

Ini kerana, sehingga 9 November lalu, sebanyak 3,643 daripada 5,339 pemilik serta pewaris masih tidak memberi maklum balas.

Sebelum­nya hanya 1,716 pemilik tanah memberi jawapan atas tawaran terbaharu yang dikemukakan pada 24 Oktober lalu.

Daripada 1,716 pula, 93.7 peratus setuju dengan pelaksanaan, 6.2 peratus tidak setuju manakala 0.1 peratus tidak pasti pendiriannya.

Menteri Wilayah Per­sekutu­an, Khalid Abd. Samad berkata, usaha untuk memberikan penjelasan dilakukan sehingga hujung tahun ini bagi mendapatkan maklum balas lanjut daripada pemilik atau pewaris tanah.

Jelas beliau, untuk itu, PKB akan membuat sesi khas bersama 3,643 pemilik dan pewaris yang mana 20 orang akan dipanggil bagi setiap sesi.

“Kira-kira 205 sesi akan dilakukan selama 69 hari ia­itu sebanyak tiga sesi dalam masa sehari. Setiap sesi akan mengambil masa selama dua hingga tiga jam.

“Hampir setiap hari PKB akan jumpa 20 orang, kumpulkan dan memberi pe­nerangan kerana perkara ini patut difahami supaya pembangunan dapat dilakukan bersama,” katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Tambah beliau, keputusan lanjut akan dibuat selepas PKB melakukan sesi berkenaan dengan kertas penubuhan Syarikat Tujuan Khas (SPV) mungkin dapat dilaksanakan pada April tahun hadapan dan penubuhannya pada Mei.

“Pelaksanaan dijangka dilakukan pada Januari 2021 dan pelancaran dilakukan pada tahun tersebut. Mungkin pertengahan tahun 2020 atau awal 2021 kita akan laksanakannya,” jelasnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas