Berita

Tidak kompromi jika ada unsur khianat

JALALUDDIN (kiri) mendengar keluhan dua buah keluarga mangsa kebakaran di Perumahan Awam (PA) Setapak Jaya 1A di sini pada Isnin.
- Diterbit 21 Januari 2022 3:34 AM MYT

KERAJAAN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbukti melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian, kerosakan harta benda dan kesusahan kepada orang awam terutama mangsa kebakaran di Perumahan Awam (PA) Setapak Jaya 1A.

Tegas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, pihaknya telah meminta pihak berkuasa untuk menyediakan laporan lengkap bagi mengetahui punca kejadian sebelum tindakan susulan diambil.

“Kalau didapati, terdapat unsur khianat melalui laporan bomba dan polis, maka saya minta pihak berkuasa termasuk polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan yang sewajarnya kepada pelaku.

“Kita tidak tahu lagi dan ini adalah ‘hearsay’ atau laporan perbualan masyarakat, perkara sebenar kita tidak tahu, kita serahkan kepada pihak polis dan laporan bomba mengenai punca kejadian ini,” katanya kepada Wilayahku selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada dua buah keluarga yang terlibat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) PA Setapak Jaya 1A pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin dan Pengurus Pembangunan Komuniti YWP, Kamaruzaman Mustapha.

Katanya, walaupun insiden kebakaran itu telah menyebabkan tiga buah rumah musnah, namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku.

“Dalam insiden di sini, dua buah rumah telah rosak hampir 100 peratus manakala sebuah rumah lagi hanya mengalami kerosakan 30 peratus sahaja.

Alhamdulillah, tidak berlaku kehilangan jiwa (dalam insiden ini). Tetapi ini satu perkara yang tidak boleh dikompromi dan perkara yang tidak boleh ditolak ansur,” katanya.

Dalam satu kejadian, seorang lelaki disyaki kurang siuman bertindak membakar rumahnya ekoran perselisihan faham sehingga mengakibatkan dua lagi unit musnah dalam kebakaran pada petang Ahad.

Menurut Jalaluddin, ketika ini, kedua-dua buah keluarga ini masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dan akan ditempatkan di rumah transit berhampiran kawasan tempat tinggal mereka memandangkan ada dalam kalangan mangsa mempunyai anak yang bersekolah di kawasan berhampiran.

“Mereka dibenarkan untuk menduduki rumah transit dalam tempoh tertentu dan kebiasaannya tiga hingga empat bulan merupakan tempoh yang sesuai dan memadai untuk mereka mendiami rumah transit ini sementara kediaman mereka yang terbakar diperbaiki semula.

“Tetapi itu adalah bergantung kepada keadaan dan suasana pada ketika itu, yang penting bagi kementerian, dua keluarga ini mendapat tempat tinggal yang selesa dan munasabah bagi mereka untuk meneruskan kehidupan selepas bencana ini berlaku,” katanya.

Jelasnya, pihak DBKL dan YWP turut menghulurkan wang tunai sebagai bantuan awal dan kemungkinan ada lagi beberapa agensi yang akan memberikan bantuan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung.

“Saya akan berbincang dengan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MPPWPKL) Parlimen Setiawangsa dan UMNO Bahagian Setiawangsa ini untuk membantu dua keluarga ini membaiki semula kediaman mereka secepat mungkin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas