Berita

Portal bantuanbanjir.com mudahkan mangsa banjir dapat maklumat

SECARA keseluruhan, sejumlah RM1.4 bilion telah diperuntukkan bagi mangsa banjir di negara ini dengan bantuan boleh mencecah RM61,000 bagi mangsa banjir yang terlibat.
- Diterbit 21 Januari 2022 3:37 AM MYT

KEMENTERIAN Kewangan mewujudkan portal bantuanbanjir.com yang menghimpunkan pelbagai pautan di bawah satu laman sesawang bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan bantuan banjir.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata senarai penuh bantuan kerajaan seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan bantuan lain bagi membaiki rumah serta baucar membaiki kenderaan tersedia di bawah portal berkenaan.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sejumlah RM1.4 bilion sudah diperuntukkan bagi mangsa banjir di negara ini, dengan bantuan boleh mencecah RM61,000 bagi mangsa banjir yang terbabit.

“Ketika saya menyertai pelbagai program bantuan banjir, ramai mangsa yang berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan disalurkan, tetapi satu perkara yang sering ditanya, bagaimana untuk mendapatkan maklumat bagi memohon bantuan.

“Memang betul dengan pelbagai agensi terbabit dalam penyaluran bantuan, mesti ramai yang hendak tahu bagaimana cara mendapatkan bantuan itu,” katanya dalam video berdurasi 1.52 saat mengenai bantuanbanjir.com.

Tengku Zafrul berkata, portal berkenaan dilengkapi langkah memanfaatkan bantuan yang disediakan agensi penyelaras bantuan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata laporan Penilaian impak disebabkan banjir yang berlaku di 50 daerah di Malaysia pada bulan lalu menganggarkan kerugian yang dialami adalah antara RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion.

Menurut beliau, dapatan awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), daripada jumlah itu, kerugian membabitkan aset awam dan infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan adalah yang tertinggi iaitu RM2 bilion.

Kerugian lain meliputi kerosakan tempat kediaman antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion; kenderaan RM1 bilion hingga RM1.3 bilion; pembuatan (RM800 juta hingga RM1 bilion); premis perniagaan (RM500 juta hingga RM600 juta); dan pertanian (RM40.9 juta hingga RM49.9 juta).

“Ini anggaran, saya minta DOSM untuk memurnikan angka-angka ini. Ini adalah tugas perangkaan iaitu buat anggaran, maka dari segi bantuan kami cuba sesuaikan dengan jumlah kehilangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas