Berita

KWP cadang bina parkir bertingkat

SHAHIDAN (tengah) meneliti pelan pembangunan di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik dekat Jalan Klang Lama pada Selasa.
- Diterbit 21 Januari 2022 3:27 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengkaji cadangan membina tempat letak kereta bertingkat di tanah kosong bersebelahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Anggerik di Jalan Klang Lama yang selama ini berhadapan dengan masalah tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, perkara itu diusahakan bagi menangani kekurangan tempat letak kereta dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

“Kami sedang mengkaji pembinaan dua atau tiga tingkat kompleks tempat letak kereta untuk menempatkan lebih banyak kenderaan.

“Perincian bilangan petak dan tarikh siap akan dimaklumkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.

SHAHIDAN (tengah) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah meninjau keadaan tanah milik DBKL berhampiran PPR Seri Anggerik.

Beliau ditemui selepas melawat projek perumahan itu untuk meninjau lot bersebelahan yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah pada Selasa.

Lot tanah milik DBKL itu digunakan sebagai kawasan parkir oleh penduduk disebabkan ruang di dalam kawasan PPR tidak mencukupi dan mereka terpaksa menindih kenderaan satu sama lain termasuklah membina beberapa lot kedai untuk menjalankan perniagaan.

Menurut Shahidan, pihaknya sedang bekerjasama dengan DBKL untuk membina surau di kawasan sama dan tapak yang telah dikenal pasti.

“Kita akan membincangkan perkara ini dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Kami akan mencari kaedah bagaimana untuk mengumpul dana untuk projek ini,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu akan diberi keutamaan.

Shahidan berkata, pihaknya juga akan menyediakan kira-kira 10 tapak perniagaan yang dikhaskan kepada golongan muda di atas tapak tersebut.

“Kita bagi 10 tempat untuk orang muda berniaga. Kehadiran orang muda sudah pasti membuatkan suasana lebih dinamik serta menguntungkan dan sudah pasti ekonomi kita makin bertambah rancak,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas