Sekilas

Tidak halang anak muda ‘main games’, Madad bina stadium e-sport sambil berdakwah

|PENGARAH Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad)
- Diterbit 24 April 2022 2:45 AM MYT

PENGARAH Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad), Mohammad Yaakub Yusra Mohd menganggap dakwah dalam kalangan golongan muda antara faktor penting kepada negara.

Menurutnya, apa yang menjadi kegemaran anak-anak muda (gen-Z) tidak boleh dihalang kerana zaman mereka sekarang berbeza dengan yang dulu.

Untuk itu, beliau kini dalam proses membina sebuah stadium e-sport yang merupakan salah satu kemudahan dalam pusat komuniti Islam bertaraf antarabangsa yang bakal dibina di Kampung Teluk, Sungai Layar di Sungai Petani, Kedah.

PENGARAH Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad), Mohammad Yaakub Yusra Mohd.

Pusat komuniti yang sedang dibangunkan bermula tahun 2018 di kawasan seluar tiga hektar itu, bakal siap pada tahun 2025.

“Insya-Allah pembinaan stadium e-sport akan dimulakan pada Ogos depan. Ia bakal jadi lokasi golongan muda untuk ‘main games’.

“Kita buat tempat khas, tapi bila tiba waktu solat, kita sama-sama berjemaah.

“Kita tak boleh nafikan, kebanyakan anak-anak kita memang suka ‘main games’. Kalau tegur pun, mereka tetap main.

“Kalau kita tak mampu berlawan, mengapa tidak untuk kita ‘berkawan’. Kita raikan mereka dan pada yang sama mendidik,” jelasnya.

MENURUT Mohammad Yaakub Yusra Mohd, dakwah yang dijalankan perlu seiring atau bersesuaian dengan zaman anak-anak muda sekarang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis pelancaran ‘Ramadan Bersama Ekonomi Kita’ di Madad di Kampung Teluk, Sungai Layar did Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Menurut selain stadium e-sport, pusat komuniti itu akan dilengkapi dengan sebuah pusat tahfiz integrasi, masjid berasaskan ilmu falak, kapsul hotel dan pengurusan jenazah.

“Lebih membanggakan, semua perkhidmatan dan kemudahan yang sediakan itu nanti akan ditawarkan secara percuma.

INILAH tapak pusat komuniti Islam yang bakal menempatkan stadium e-sport untuk golongan remaja.

“Konsep yang diketengahkan itu bersesuaian dengan misi penubuhannya untuk menjadi organisasi yang menyediakan pendidikan, dakwah, amal dan sistem automasi untuk ummah,” katanya lagi.

Tambahnya, pusat komuniti Islam itu mampu direalisasikan kerana pada masa ini Madad mempunyai ekosistem sendiri untuk memperoleh pendapatan pada setiap bulan dalam tempoh jangka masa panjang.

ANTARA perniagaan yang diusahakan Madad sekarang adalah pelaburan saham dan kripto patuh syariah.

Katanya, antara perniagaan yang diusahakan Madad sekarang adalah pelaburan saham dan kripto patuh syariah, percetakan buku digital dan beberapa perniagaan lain.

“Alhamdulillah pada masa ini, Madad memperoleh pendapatan menerusi pelaburan saham dan kripto yang melebihi RM1 juta dan percetakan digital pula kira-kira RM100,000 sebulan.

“Pendapatan lain pula.melibatkan jualan hasil pertanian dan penternakan yang meraih pendapatan RM150,000 hingga RM200,000 sebulan,” ujarnya.

MADAD turut menjalankan penternakan Kambing, ayam kampung dan arnab.


Selain itu, Mohammad Yaakub Yusra memberitahu, jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di Madad adalah seramai 40 pelajar yang berusia antara 12 hingga 14 tahun.

Bagaimanapun, menurutnya, ketika ini pihaknya masih bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk membiayai kos pengajian pelajar terbabit.

“Buat masa sekarang disebabkan Madad masih di fasa pembangunan, maka kita masih memerlukan bantuan dan insya-Allah di masa hadapan, kita berimpian besar untuk tidak buat apa-apa kutipan lagi,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas