Berita

‘Tidak boleh henti pembinaan kerana perundangan’ – Khalid

KHALID pada sidang akhbar di Menara Seri Wilayah, Putrajaya.
- Diterbit 20 Februari 2020 8:23 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak boleh terus menghentikan sebarang pembinaan yang sedang dijalankan walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, kerana kontrak dan persetujuan sudah ditandatangani sebelum pertukaran kerajaan berlaku.

Tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, tindakan menghentikan sebarang operasi pembangunan akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian mengikut peruntukan perundangan  dalam kontrak yang sudah ditandatangani.

“Itulah hakikat, kerajaan baru terpaksa meneruskan komitmen yang dibuat kerajaan lama.

“Kita boleh cuba kurangkan impak macam di Taman Rimba Kiara iaitu dengan mengurangkan keluasan pembangunan, tetapi tidak boleh batalkan begitu sahaja kerana ada implikasi perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan dua Ahli Parlimen kerajaan yang membidas pembinaan Lebuhraya Bertingkat Bangsar-Damansara yang sudah bermula selain menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan.

Menurut Khalid, pembatalan pembangunan boleh dilakukan sekiranya penduduk bersetuju untuk bersama-sama membiayai segala kerugian atau pun bayaran yang kerajaan atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa tanggung.

Jelas beliau, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya melepas tangan dan meminta pemaju mendapatkan ganti rugi daripada pemerintahan lalu.

Justeru ujarnya, apa yang boleh dilakukan adalah mengurangkan risiko atau kesan disebabkan pembangunan yang sudah dirancang itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas