Berita

Kiosk@11 jadi satu lagi tempat makan menarik di Putrajaya

KHALID (kiri) memakaikan apron kepada peniaga selepas merasmikan pembukaan Kiosk @11 di Presint 11, Putrajaya hari ini. Turut kelihatan Aminuddin (dua dari kanan).
- Diterbit 20 Februari 2020 7:53 AM MYT

PUTRAJAYA – Penduduk Putrajaya kini mempunyai satu lagi tempat makan menarik apabila Kioks@11 di Presint 11 dibuka kepada orang ramai.

Kioks berkenaan merupakan premis gerai makanan ketiga yang berjaya dibangunkan Perbadanan Putrajaya (PPj) selepas Kiosk D’Harmoni, Presint 9 dan Kiosk D’Belian, Presint 14.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, kiosk yang dibina di bawah peruntukan Program Pembangunan Ekonomi Bumiputera (PEB) itu dapat membantu usahawan bumiputera menjalankan aktiviti perniagaan secara lebih teratur dan tersusun.

“Dengan adanya kiosk ini maka aktiviti komersial yang berjalan di kawasan tersebut sentiasa dapat dikawal dan dipantau dari aspek kebersihan dan keselamatan kepada peniaga dan pengunjung,” ujar beliau ketika majlis perasmian Kiosk@11 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Ahmad Uzair Wan Sulaiman.

SUASANA di Kiosk@11, Presint 11 yang baru dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad padi tadi. Foto NAZIRUL ROSELAN

Khalid berkata, kiosk yang beroperasi sepenuhnya pada 15 Februari lalu mempunyai 12 ruang niaga dan ia dibangunkan berhampiran komuniti bagi memudahkan penduduk setempat untuk menjamu selera.

“Pada tahun ini PPj juga akan membangunkan tiga buah lagi premis perniagaan awam baharu berjumlah RM11 juta secara keseluruhan iaitu lima unit kiosk di Presint 6, tiga unit di Dataran Putra dan medan selera baharu di Presint 8,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas