Berita

Tidak boleh berhubung sehingga pemantauan tamat! Keluarga perlu faham

KESEMUA 105 penumpang dari Wuhan, China dibawa ke AKEPT bagi tempoh kuarantin.
- Diterbit 4 Februari 2020 5:53 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 105 warga Malaysia yang tiba dari Wuhan, China dibawa ke Pusat Pemantauan (Surveillance Center) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Kesemua mereka dipindahkan selepas selesai tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) manakala dua lagi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana tidak melepasi tapisan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Pusat Pemantauan tersebut akan diselia petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Tegas beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, perhubungan di pusat berkenaan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja.

“Selain petugas kesihatan, tidak ada perhubungan dengan pihak luar yang dibenarkan termasuk ahli keluarga.

“Justeru ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Azizah, untuk tujuan keselamatan juga, lokasi tersebut dikawal pihak polis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan kesemua yang terlibat benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan tersebut.

Ujarnya, Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dan sedang menghubungi keluarga terdekat bagi memaklumkan ketibaan mereka dan memberi penerangan berkaitan proses pemantauan yang perlu dilalui.

Terdahulu beliau memaklumkan, pesawat AirAsia AK 8265 dari Wuhan, China yang membawa 133 orang iaitu 107 orang pulang dari Wuhan, lapan petugas misi dan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia bersama 12 kru AirAsia selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6 pagi tadi. – WILAYAHKU

KEADAAN di bahagian dalam AKEPT termasuk katil yang disediakan untuk tempoh kuarantin.
BANGUNAN AKEPT dipasang pita kuning dan dikawal selia sebagai langkah berjaga-jaga kepada 105 individu dari Wuhan, China yang dikuarantin selama 14 hari.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas