Berita

Tidak bersih, 720 premis makanan di arah tutup tahun lalu

NOR HISHAM (lima dari kanan) bersama pemenang Anugerah Pertandingan Restoran Bersih Tahun 2019, selepas menyampaikan hadiah dan plak kepada pengusaha restoran yang berjaya di sini hari ini.
- Diterbit 29 Januari 2020 5:14 AM MYT

KUALA LUMPUR – Sebanyak 720 premis makanan diarahkan tutup pada tahun lalu ekoran pengusaha premis mengambil ringan soal kebersihan dan sanitasi pengendalian makanan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, penutupan premis makanan tersebut dilakukan  bagi memberi peringatan kepada pengusaha agar menjaga aspek-aspek sanitasi dan kebersihan premis dengan baik.

“Melalui operasi yang djalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 2019, sebanyak 7,471 kedai makan diperiksa manakala 3,839 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap pengusaha restoran.

“Selain itu, operasi ini adalah untuk memastikan mekanisma penting dalam menangani risiko pencemaran makanan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Pertandingan Restoran Bersih Tahun 2019 di Menara DBKL di sini hari ini.

NOR HISHAM (dua kanan) menyampaikan Anugerah Pertandingan Restoran Bersih Tahun 2019 kepada pengusaha Kafe Goodness Green di Menara DBKL hari ini.

Menurut Nor Hisham, pihak DBKL sentiasa menjalankan pemeriksaan serta pemantauan ke atas premis makanan di sekitar Kuala Lumpur bagi memastikan tahap sanitasi dan kebersihan premis berada dalam keadaan yang baik.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, menerusi Pertandingan Anugerah Kebersihan Premis Makanan 2019 yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, pengiktirafan diberikan sebagai penghargaan atas usaha-usaha penambah baikan yang dilakukan dalam aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

“Ia juga sebagai satu usaha bagi mengurangkan risiko berlakunya keracunan makanan dan seterusnya pengusaha dapat menyediakan makanan yang berkualiti serta sihat kepada warga kota,” katanya.

Dalam pertandingan ini, dua kategori dipertandingkan iaitu kategori premis makanan berhawa dingin yang dimenangi Kafe Goodness Green dan kategori tidak berhawa dingin dimenangi Q Bistro Nasi Kandar.

Pemenang menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas