Utama

Tanah runtuh: DBKL laksana pembaikian sementara serta merta

NOR HISHAM melihat tembok penahan yang runtuh di dalam kawasan Sekolah Convent Bukit Nanas di sini pagi tadi.
- Diterbit 29 Januari 2020 5:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membantu membaik pulih tembok penahan yang runtuh di dalam kawasan Sekolah Convent Bukit Nanas di sini kira-kira pukul 8.30 pagi tadi dengan kadar segera.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, untuk hari ini, beliau telah mengarahkan Jabatan Kejuruteraan Awam DBKL melaksanakan kerja-kerja penyelengaraan di kawasan terbabit.

“Sekiranya hujan berterusan, kerosakan ini akan menjadi lebih teruk dan dijangka akan melibatkan beberapa kawasan lain.

“Saya juga akan meminta agensi berkaitan seperti Jabatan Hutan dan Syarikat Air Selangor untuk menyelenggara dan memeriksa longkang serta parit yang ada di dalam kawasan hutan berhampiran kerana dikhuatiri terdapat kerosakan serta kebocoran tangki simpanan air yang boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh yang lebih teruk,” katanya kepada Wilayahku ketika lawatan Khas Datuk Bandar meninjau tanah runtuh di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun; Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusof; wakil Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Nor Aidila Natasha Azhari dan wakil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

KEADAAN tanah runtuh yang berlaku di Sekolah Convent Bukit Nanas, pagi tadi.

Kata Nor Hisham, kawasan terlibat yang perlu dibaiki dianggarkan berkeluasan 20 meter dan beliau turut meminta wakil JPWPKL serta JKR untuk menyelenggara segera kerosakan tersebut.

“Untuk hari ini, kami lakukan yang seadanya dan saya telah meminta pihak JPWPKL berhubung dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kerana ia membahayakan murid-murid sekolah berkenaan.

“Saya turut difahamkan pihak KPM mempunyai peruntukan membaik pulih kerana ia memerlukan tindakan segera,” katanya – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas