Berita

Tiada kesesakan di depot tahanan imigresen – Saifuddin Nasution

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 6 Mac 2024 3:05 PM MYT

MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa depot tahanan imigresen di negara ini mengalami kesesakan.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 13,000 pendatang tanpa izin di 19 depot tahanan imigresen di seluruh negara.

“Satu-satunya keadaan di mana depot mengalami kesesakan adalah masa COVID-19 tempoh hari, sebab kita tak boleh hantar (mereka) balik. Sekarang ini jumlah depot ada 19, jumlah penghuninya 13,000, di mana sesaknya? Tak ada sesak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah 2024.

Saifuddin Nasution diminta mengulas mengenai sama ada berlaku kesesakan di depot tahanan imigresen dan sama ada kerajaan bercadang menghantar pulang pendatang tanpa izin yang ditahan ke negara asal.

Beliau berkata Jabatan Imigresen Malaysia mengadakan operasi dari semasa ke semasa bagi mengesan warga asing yang tidak memiliki dokumen yang sah atau dokumen tamat tempoh merangkumi pelbagai sektor termasuk pembinaan, perladangan dan pembuatan.

Katanya berdasarkan beberapa operasi yang dijalankan, daripada setiap 10 warga asing yang diperiksa 80 peratus daripada mereka mempunyai dokumen yang sah, sementara 20 peratus tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Jadi mengikut kedudukan sekarang, jumlah serbuan yang dilakukan itu banyak, jadi bila kita buat analisa, kita proses mereka yang ditahan, benar mereka warga asing, tapi 80 peratus ada dokumen sah, 20 peratus sahaja yang menyalahi (undang-undang),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar kerajaan Persekutuan meluluskan segera peruntukan tambahan bagi pembinaan dan menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) di Kedah, Saifuddin Nasution yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata punca kelewatan projek tersebut perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

“Sebelum kita sampai kepada menimbangkan cadangan untuk meningkatkan kos, bajet dan sebagainya, kita akan buat keputusan bersandarkan kepada analisis sebab-musabab yang menyebabkan kepada kelewatan seumpamanya.

“(Kos bahan binaan) boleh jadi satu faktor, boleh jadi ada faktor lain, jadi kalau kita selesaikan yang itu (kos bahan binaan) tapi faktor lain belum selesai, tak jadi juga. Jadi kita kena tengok secara keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan memohon kerajaan Persekutuan menyegerakan kelulusan permohonan kos tambahan bagi projek menaik taraf dan membina LRA berikutan peningkatan kos yang dihadapi pihak kontraktor susulan kenaikan harga bahan binaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas