Berita

Tiada insiden telefon pintar percuma terbakar di Perak – MB

Menurut Saarani pemberian telefon pintar percuma oleh Yayasan YTL kepada golongan B40 menerusi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) itu masih diteruskan susulan peningkatan permintaan bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
- Diterbit 7 Julai 2021 7:22 AM MYT

KERAJAAN negeri Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung insiden telefon pintar yang diberikan secara percuma terbakar setakat ini, kata Menteri Besarnya Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata sebaliknya, terdapat permintaan daripada pelajar dan keluarga agar sumbangan telefon pintar itu diperluas dan diperbanyak.

“Saya tidak tahu berlaku di mana telefon pintar yang terbakar atau meletup, setakat yang telah kita edarkan kepada pelajar-pelajar belum ada laporan (terbakar) di Perak.

“Malahan permintaan ke atas telefon ini semakin tinggi. Jumlahnya (permintaan) saya tiada lagi tetapi ia semakin meningkat,” katanya dalam sidang media secara maya di pejabatnya hari ini.

Menurut Saarani pemberian telefon pintar percuma oleh Yayasan YTL kepada golongan B40 menerusi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) itu masih diteruskan susulan peningkatan permintaan bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sebelum ini dilaporkan, sebanyak 20,000 unit telefon pintar akan diberikan kepada pelajar golongan B40 menerusi program TCS dan setakat 16 Jun lepas, kerajaan negeri telah menerima 13,000 unit telefon pintar berkenaan yang sudah mula diedarkan kepada pelajar yang disenaraikan oleh pejabat pelajaran daerah masing-masing.

Semalam, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman Twitternya berkongsi tangkap layar seorang warga maya yang mendakwa telefon pintar yang dibekalkan kerajaan kepada pelajar telah terbakar dan mempersoalkan mengapa telefon pintar berkenaan belum ditarik balik. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas