Berita

Peniaga raih pendapatan lumayan jual durian dalam talian

TAKTIK perniagaan sedemikian merupakan inisiatif terbaik ketika berdepan tempoh kawalan pergerakan, yang menyukarkan pelanggan keluar ke mana-mana lokasi. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 7 Julai 2021 7:12 AM MYT

SEORANG peniaga mampu meraih pendapatan sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sehari dengan menjual pelbagai jenis durian tanpa kulit secara dalam talian.

Mohamad Hakim Fahmi Awang, 40, berkata taktik perniagaan sedemikian merupakan inisiatif terbaik ketika berdepan tempoh kawalan pergerakan, yang menyukarkan pelanggan keluar ke mana-mana lokasi.

“Saya mula berniaga tahun lepas. Memang pada awalnya agak sukar untuk mendapatkan pelanggan kerana mereka meragui kualiti isi durian yang dijual di dalam bekas dan beranggapan ia tidak segar sebagaimana buah yang dijual bersama kulit.

“Namun, alhamdulillah dalam tempoh seminggu, pelanggan mula memuji dan menyebarkannya dalam media sosial,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya di Kampung Ladang di sini.

Mohamad Hakim berkata rata-rata pelanggan adalah mereka yang melayari media sosial Facebook dan durian di kedainya mampu dijual sekitar 500 kilogram setiap hari.

Antara jenis durian yang sering menjadi pilihan pelanggan ialah udang merah, D29, Musang King dan IOI, yang dijual dengan harga RM70 hingga RM130 sekilogram mengikut gred.

“Saya lebih mementingkan kualiti buah berbanding kuantiti. Buah yang kurang elok akan diasingkan dan dijual dengan harga sekitar RM20 hingga RM30 satu kilogram untuk dijadikan tempoyak,” katanya.

Beliau turut membenarkan pelanggannya memulangkan durian yang dibeli sekiranya didapati tidak elok dan akan menggantikannya.

Selain menjual durian di kedai, beliau turut membuat penghantaran dengan menggunakan khidmat penghantar barangan (runner) kepada pelanggan di daerah Hulu Terengganu, Marang serta Kuala Nerus.

“Sekarang, permintaan terhadap raja buah yang dijual tanpa kulit ini semakin bertambah dan baru-baru ini saya cukup teruja apabila mengetahui seorang daripada pelanggan saya adalah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

“Saya hanya mengetahuinya apabila dihubungi oleh pembantu peribadi baginda yang bertanyakan stok durian segar yang dijual,” katanya. — BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas