Berita

Tiada cadangan Brickfields jadi bandar orang buta

JALAN Brickfields, Kuala Lumpur. -Gambar hiasan.
- Diterbit 7 November 2019 10:03 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai sebarang cadangan untuk menjadikan Jalan Brickfield sebagai Bandar Orang Buta.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menaik taraf dan menyediakan laluan pejalan kaki yang lebih mesra orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan di sekitar Brickfields.

“Kelebaran laluan pejalan kaki telah ditambah dan aras jalan yang pelbagai telah disamaratakan. Halangan-halangan seperti tiang lampu dan papan tanda juga telah dialih ke kawasan hijau. Ini bertujuan untuk kegunaan dan keselesaan pengguna terutamanya pengguna OKU cacat penglihatan,’’ kata­nya ketika menjawab pertanyaan Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus (PH-Hulu Langat) pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

HASANUDDIN

Khalid berkata, penerapan sebahagian besar kemudahan siar kaki bagi orang ramai terutamanya untuk OKU cacat penglihatan sememangnya dilaksanakan dalam Projek River of Life (RoL) Pakej 4A dan 4B di mana ia melibatkan pengindahan beberapa jalan di Brickfields.

“Pakej 4A melibatkan kawasan Sungai Klang dari Jalan Kinabalu ke Jalan Maarof manakala Pakej 4B melibatkan Brickfields iaitu Jalan Scott, Jalan Tun Sambanthan 4, Jalan Thambipillay, Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Vivekananda, Jalan Rozario, Lorong Chan Ah Tong, Jalan Chan Ah Tong dan Jalan Tebing,’’ katanya.

Dalam hal ini, kata beliau, kementeriannya turut merujuk kepada Garis Panduan Rekabentuk Sejagat (universal design) dan MS1184 yang menekankan beberapa aspek seperti aksesibiliti mesra pejalan kaki dan mesra OKU bagi semua peringkat usia terutama golongan OKU cacat penglihatan dan pengguna kerusi roda.

“Antara elemen yang yang diterapkan adalah pemasangan “tactiles” di kebanyakan laluan siar kaki iaitu daripada jenis “warning tactiles” dan “guiding tactiles”, “seamless flooring” dan “ramp” dengan kecuraman nisbah bersesuaian untuk pengguna kerusi roda dan konsep laluan bebas halangan,’’ katanya.

Khalid berkata, dalam penyediaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, DBKL turut mengambil kira semua golongan di dalam reka bentuk mesra OKU seperti menyediakan kemudahan awam antaranya taman, ruang awam dan laluan pejalan kaki yang mesra pengguna (inklusif) bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang selamat, mesra usia dan mesra upaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas