Berita

Tunggakan bil air RM39 juta

Penyewa PPR/PA DBKL dapat pengecualian sewa selama sebulan ekoran Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 7 November 2019 10:13 AM MYT

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad mendedahkan sehingga kini tunggakan bil air bagi penduduk di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencecah hingga RM39 juta.

Beliau berkata, jumlah tunggakan yang dikeluarkan oleh DBKL itu merupakan jumlah penggunaan sebenar bil air yang gagal dijelaskan oleh sebahagian penduduk sejak mendiami unit PA dan PPR tersebut.

“Jumlah tunggakan ini adalah termasuk baki awal tunggakan sebelum berlaku masalah teknikal kepada sistem berkomputer bil air pada tahun 2011 dan caj anggaran purata RM25 sebulan bermula tahun 2011 hingga tahun 2014 serta caj sebenar bil air bermula tahun 2015 yang gagal dijelaskan oleh penduduk,’’ katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan P. Prabakaran (PH-Batu) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Khalid terdahulu membetulkan kenyataan Prabakaran bahawa tunggakan bil air RM8.6 juta melibatkan penduduuk PA dan PPR di Parlimen Batu dan bukannya di seluruh Kuala Lumpur.

Beliau berkata, DBKL amat menggalakkan agar penduduk menjelaskan tunggakan bil air tersebut secara ansuran mengikut kemampuan mereka tertakluk kepada garis panduan yang diguna pakai oleh pihak berkuasa tempatan itu.

“Saya amat mengharapkan kerjasama Yang Berhormat Batu dan Ahli-Ahli Yang Berhormat di Kuala Lumpur untuk menyokong usaha DBKL ini serta membantu memujuk penduduk untuk membuat bayaran tunggakan bil air berkenaan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, tunggakan bil air yang gagal dijelaskan oleh sebahagian penduduk ini tidak wajar untuk dibatalkan kerana ia tidak adil kepada penduduk lain yang telah membuat bayaran bil air secara konsisten setiap bulan tanpa tunggakan sejak mendiami unit PA dan PPR DBKL.

Jelasnya, pembangunan sistem berkomputer air yang baharu sedikit mengambil masa bagi memastikan masalah yang sama kepada sistem bil air tidak berulang serta pengeluaran bil dapat dikeluarkan dengan tepat dan konsisten pada setiap bulan.

“Bagaimanapun, DBKL telah membuat pengiraan semula ke atas bacaan meter sebenar untuk tahun 2011 hingga 2014 dan mendapati penggunaan air oleh penduduk ada yang melebihi RM25 dan ada yang kurang dari RM25.

“Bagi penggunaan air yang kurang daripada RM25, DBKL telah membuat pelarasan membatalkan semula lebihan caj yang telah dikenakan pada tahun 2011 hingga 2014 manakala bagi penggunaan air yang melebihi RM25, DBKL tetap mengenakan caj RM25 sahaja tanpa tambahan caj melebihi RM25 sebulan,’’ katanya.

Tambah beliau, sekiranya penduduk mempunyai kekeliruan mengenai tunggakan bil air tersebut, DBKL sentiasa membuka pintu rundingan kepada penduduk untuk hadir pada Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan di kawasan PA dan PPR DBKL atau tampil ke Kaunter Perkhidmatan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL bagi menyemak dan mengesahkan jumlah tunggakan bil air berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas