Berita

Tiada arahan untuk tidak akses data telefon bimbit Ebit Lew dalam pemacu kilat

- Diterbit 11 Januari 2024 4:35 PM MYT

SEORANG saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa beliau tiada menerima arahan untuk tidak mengakses data dalam pemacu kilat diberikan syarikat LGMS Berhad (LGMS).

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Insp Yip Chang Ching, 43, berkata sedemikian ketika pemeriksaan semula Peguam Ram Singh hari ini berkenaan pemacu kilat mengandungi data telefon bimbit Lew diberikan LGMS kepada PDRM.

Saksi pendakwaan kelapan itu juga tidak bersetuju kepada soalan Ram Singh yang mewakili Ebit Lew bahawa saksi telah melampaui had untuk melihat data berkenaan.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan disambung dari 13 hingga 15 Februari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas