Berita

Parlimen Malaysia seru anggota PUIC terus sokong perjuangan rakyat Palestin

MALAYSIA juga telah menggesa negara anggota PBB untuk bersatu dalam solidariti bersama Palestin. - Gambar hiasan
- Diterbit 11 Januari 2024 4:39 PM MYT

TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menyuarakan sokongan Parlimen Malaysia terhadap perjuangan dan hak rakyat Palestin termasuk pembentukan negara Palestin yang berkerajaan sendiri dan beroutonomi.

Perkara tersebut dinyatakan ketika mesyuarat Kesatuan Parlimen Negara Anggota OIC (PUIC) bagi Jawatankuasa Tetap Palestin di Tehran, Iran.

Menurut Pejabat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia menyeru seluruh anggota PUIC untuk terus menyokong perjuangan dan hak rakyat Palestin.

“Parlimen Malaysia bersungguh-sungguh menyokong perjuangan Palestin. Parlimen dan kerajaan Malaysia juga akan menggunakan semua cara yang ada untuk menguatkan suara dan melindungi hak mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya Malaysia juga menyatakan kecaman sekeras-kerasnya terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berterusan oleh Israel.

“Malaysia juga telah menggesa negara anggota PBB untuk bersatu dalam solidariti dengan Palestin dan mengambil tindakan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Parlimen Malaysia turut mewujudkan Kaukus Palestin yang dipengerusikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh sebagai tindak balas kepada konflik yang berterusan di Gaza,” jelasnya.

Ramli berkata melalui kaukus itu, Parlimen Malaysia telah menggunakan saluran diplomatik dengan menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, sekali gus menunjukkan komitmen Parlimen Malaysia menyatakan kebimbangan dan tuntutan Malaysia berhubung situasi di Gaza. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas