Berita

50 Duta Perpaduan, dua Ikon Perpaduan dilantik setiap tahun

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 11 Januari 2024 2:05 PM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara akan melantik 50 Duta Perpaduan dan dua Ikon Perpaduan setiap tahun mulai tahun ini, kata menterinya Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata mereka berperanan untuk menyebar luas pengetahun, kefahaman dan penghayatan usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan semangat muhibah serta kerbersamaan.

“Tujuan utama pelaksanaan inisiatif ini bagi mengasah kemahiran dan pengetahuan belia untuk menjadi pemimpin perpaduan dan keamanan dalam komuniti mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah My Hero 4.0 Tahun 2024 di sini hari ini.

Inisiatif Duta Perpaduan akan menumpukan empat bidang iaitu perpaduan melalui kesukarelawan, penghayatan Rukun Negara, pengukuhan perpaduan negara dan pemuliharaan khazanah warisan negara.

Sehubungan itu, Aaron turut mengumumkan kesemua enam penerima Anugerah My Hero yang dipilih daripada 13 calon akhir pada hari ini, sebagai Duta Perpaduan bagi 2024.

Mereka terdiri daripada Pengerusi Pertubuhan Doktor Prihatin Dr Mohammed Hazimi Abdul Razak; bekas pegawai perubatan Dr Neville Anthony Fernandez; wartawan Peter Wee Eng Ming, pensyarah Dr Song Beng Kah dan sukarelawan Muhammad Farhan Param Kunaseigaran serta Tan Cheng Teng.

Aaron juga berharap setiap negeri dapat melantik Duta Perpaduan peringkat negeri dalam kalangan golongan belia seperti yang dilakukan Selangor dan Johor .

Katanya KPN melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) akan mempromosi perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini menerusi kesukarelawanan sekali gus mengiktiraf alumni YSS sebagai Duta Perpaduan.

Anugerah My Hero 4.0 merupakan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor serta akhbar Nanyang Siang Pau bagi mengiktiraf rakyat Malaysia yang menunjukkan keazaman dalam membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan bangsa.

Sehingga kini, 18 wira dan wirawati yang terdiri daripada pelbagai kaum menerima anugerah My Hero pada 2014, 2016 dan 2018.

Sementara itu, Aaron memaklumkan kementerian berhasrat untuk menganjurkan sambutan Hari Ponggal peringkat kebangsaan pada tahun ini dan maklumat lanjut mengenai sambutan pesta menuai oleh masyarakat India itu akan diumumkan dalam masa terdekat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas