Berita

Think tank akan diwujudkan, selesai isu warga kota – Khalid

|
- Diterbit 5 Disember 2019 4:45 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mewujudkan Pusat Kajian Strategik Wilayah Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian kepada isu-isu yang berlaku di sekitar wilayah seperti kemiskinan bandar di Kuala Lumpur.

KHALID

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, pusat kajian atau ‘think tank’ yang akan diwujudkan itu merupakan perkara baharu di kementeriannya.

“Beberapa negeri seperti Selangor, Melaka dan Pulau Pinang sudah mempunyainya. Pada masa ini, kita sedang berfikir bagaimana untuk mencari jalan dan memanfaatkan pengetahuan orang lama yang pernah berkhidmat bagi membentuk pusat berkenaan.

“Fokusnya adalah untuk menangani masalah-masalah seperti kemiskinan bandar dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembasmian Kemiskinan di sini pagi tadi.

Mengulas tentang penganjuran seminar pula Khalid memberitahu, menerusi pembentangan 16 kertas kerja yang terdiri pelbagai sektor dan aktivis, takrifan miskin bandar yang sebenarnya dapat dikenal pasti dan boleh dikhususkan untuk Kuala Lumpur sahaja.

Jelas beliau, pada masa ini, garisan kemiskinan adalah secara umum sedangkan ia sepatutnya berbeza mengikut tempat.

“Standard sekarang adalah mengikut pendapatan bulanan. Kuala Lumpur perlu ada definisi kemiskinan yang tersendiri.

“Kalau di kampung, gaji RM4,000 sebulan dengan anak lima hingga tujuh orang tidak membebankan berbanding di ibu negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, Khalid memberitahu, daftar kemiskinan bandar khusus untuk Kuala Lumpur perlu dilakukan dan ia mesti mengikut takrifan kemiskinan bandar yang sebenarnya.

Tambah beliau, perkara itu akan dilaksanakan selepas pihaknya menerima proposal kajian dalam tempoh enam hingga sembilan bulan iaitu Jun 2020 nanti selepas penganjuran seminar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas