Berita

Bukan halang tapi bantu lepasi kesesakan

- Diterbit 6 Disember 2019 5:25 AM MYT

PUTRAJAYA – Baru-baru ini tular di media sosial tentang kononnya konvoi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad menyekat dan menghalang perjalanan sebuah ambulan di tengah kesesakan jalan raya di Jalan Istana Kuala Lumpur.

VIDEO penuh yang menunjukkan bagaimana pengiring DBKL membantu ambulan melepasi kesesakan.

Justeru, Pejabat Menteri itu dalam satu kenyataan menafikan dakwaan warganet berikutan kejadian yang berlaku pada pukul 9.15 pagi, 4 Disember lalu adalah pengiring dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memintas ambulan bagi membolehkan kenderaan tersebut melepasi kesesakan jalan raya.

“Apa yang berlaku adalah sebuah ambulan telah tersangkut di jalan itu dalam keadaan trafik yang sangat sesak.

“Outrider DBKL yang mengiringi kenderaan menteri telah memintas ambulan itu untuk membuka jalan bagi membolehkan kenderaan berkenaan dan rombongan menteri melepasi kesesakan itu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa, susulan tindakan pantas pengiring DBKL, kereta menteri dan juga ambulan berjaya melepasi kesesakan dan berjalan dengan lancar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas