Berita

The Pocket Rocketman idam emas Olimpik Tokyo 2020

Tekad buru impian.
- Diterbit 15 Februari 2020 12:43 AM MYT

KUALA LUMPUR – Buru emas. Itu sasaran jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang yang menyasarkan untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sasaran itu jelas melebihi apa yang ditetapkan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kerana mereka hanya menyasarkan pingat perak buat Azizul pada temasya sukan terbesar dunia yang akan membuka tiranya pada hujung bulan Julai nanti.

“Sejak membabitkan diri dalam dunia berbasikal, pendirian saya tidak pernah berubah iaitu mahu memenangi emas untuk Malaysia. Saya akan buat sehabis baik,” ujarnya.

Katanya lagi, dia kini berada dalam prestasi terbaik untuk ke Kejohanan Dunia dan berhasrat untuk mengulangi sejarah apabila muncul juara dunia pada tahun 2017 menerusi acara keirin di Hong Kong.

Perkembangan terbaharu, dia yang popular dengan jolokan The Pocket Rocketman sedang dalam persiapan ke Kejohanan Dunia yang akan bermula pada 26 Februari sehingga 1 Mac depan di Berlin, Jerman bersama dua lagi pelumba negara iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Mohd Zonis.

Kejohanan Dunia ini turut menyediakan dua slot individu bagi acara keirin dan pecut di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menjadi buruan Azizul dan dua rakan sepasukannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas