Hubungi Talian Kasih jika syak ada kes dera kanak-kanak
HANNAH (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen selepas majlis menandatangani perjanjian antara Lions Club diwakili Javern (dua dari kiri) dan RMHC yang diwakili Azmir (dua dari kanan) di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Hubungi Talian Kasih jika syak ada kes dera kanak-kanak

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merekodkan Talian Kasih 15999 iaitu saluran aduan krisis masyarakat menerima sebanyak 25,868 panggilan pada tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 70 peratus berbanding tahun 2018 yang mencatatkan 15,000 panggilan.

“Peningkatan sebanyak 70 peratus kerana kita giat mempromosikan Talian Kasih ini.

“Kita juga bekerjasama dengan Lebuh Raya PLUS dan letakkan poster Talian Kasih selain promosi di farmasi kerana kita hendak tangani isu pembuangan bayi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Program ‘Childhood Cancer Awareness’ di Rumah Ronald McDonald’s Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Pro Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal, Gabenor Lions Club District 308B1, Datuk Javern Lim Chong Hee dan Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia dan Presiden Ronald McDonald’s House Charities (RMHC), Azmir Jaafar.

Hannah berkata, pihaknya berharap orang ramai menghubungi Talian Kasih bagi aduan membabitkan isu kebajikan dan masalah keluarga supaya semua pihak yang teraniaya mendapat pembelaan.

“Sebagai contoh, sekiranya kita mengesyaki ada jiran melakukan penderaan terhadap kanak-kanak, mereka boleh hubungi Talian Kasih.

“Sekarang kita buat (aplikasi) ‘WhatsApp’, nombornya adalah 019 261 5999, senang untuk orang hantar gambar dan tunjukkan lokasi,” katanya.

Kata beliau, jika ada isu jenayah seperti pecah rumah, kes bunuh jangan hubungi Talian Kasih, sebaliknya perlu hubungi pihak polis dan ini penting,” katanya.

Beliau menegaskan, pihak sekolah dan jiran bertanggungjawab membuat laporan dan aduan sekiranya ada kes keganasan atau penderaan secara seksual, fizikal dan emosi.

Jelasnya, tindakan itu adalah bagi memastikan kanak-kanak dapat menerima bantuan kerana mereka tidak berupaya untuk menyelamatkan diri sendiri.

Dalam pada itu, statistik menunjukkan Selangor mencatatkan kes tertinggi tahun lalu iaitu kes penderaan kanak-kanak (246), keganasan rumahtangga (94).

Kuala Lumpur pula mencatatkan sebanyak 135 kes penderaan kanak-kanak dan 35 kes keganasan rumahtangga manakala Johor merekodkan 59 kes penderaan kanak-kanak dan 25 kes keganasan rumahtangga.- WILAYAHKU

CATEGORIES