Berita

The KO.PI lambang pengorbanan Norbhaiti

NORBHAITI SABAR
- Diterbit 17 September 2020 8:00 AM MYT

ENERGETIK. Itu yang dapat digambarkan kali pertama bertemu personaliti minggu ini, Norbhaiti Sabar. Kecekapannya menguruskan kafe hipster, The KO.PI yang terletak di pinggir ibu kota begitu mengagumkan penulis.

Tidak hairanlah kafe yang terletak di Sentul ini sentiasa meriah dengan kunjungan pelanggan yang bukan sahaja ingin menjamu selera bahkan tidak kurang juga yang ingin bersantai di The KO.PI.

Menyelami kisah di sebalik kesungguhannya mendepani cabaran perniagaan di tengahtengah kebanjiran kafe hipster di
Kuala Lumpur, menurut wanita yang mesra di sapa Bhaiti ini, The KO.PI merupakan lambang pengorbanan dalam hidupnya.

Dua tahun lalu, ketika kerjayanya sebagai pengurus pembangunan perniagaan di salah sebuah syarikat gergasi teknologi maklumat sedang berada di kemuncak, dia terpaksa melepaskan jawatannya demi masa hadapan keluarga.

“Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang usahawan lebih-lebih lagi saat itu saya sudah pun berada di fasa yang selesa. Namun disebabkan ibu baru sahaja meninggal dunia, ditambah pula saya baru sahaja menimang cahaya mata
pertama, maka saya terpaksa menoktahkan perjalanan karier.

“Biarpun amat berat, namun saya percaya jika kita melepaskan sesuatu yang berharga demi keluarga, maka Allah akan
menggantikan dengan kejayaan yang lebih berganda,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini.

Mengimbas kembali detik perjalanan The KO.PI, di saat dirinya tidak memiliki mata pencarian, dia mula terfikir untuk menceburi bidang perniagaan kerana itu sahaja karier yang mudah untuknya membahagikan masa bersama keluarga.

“Ketika itu, saya berminat untuk menceburi bidang industri makanan (F&B) kerana bagi saya, sampai bila-bila pun ia tetap relevan namun yang membimbangkan ketika itu, saya tidak memiliki pengetahuan dalam industri tersebut.

“Cuma saya pernah bergelar barista selama tiga tahun sewaktu zaman belajar dahulu. Itu pun serba sedikit tentang operasi di bar sementara di bahagian dapur pula, hanya tahu asas sahaja,” ujarnya yang mendapat sokongan daripada keluarga.

Ceritanya lagi, pada penghujung 2018, dia mula mencari lokasi yang bersesuaian untuk membuka kafe seterusnya
merancang reka bentuk dalaman yang sesuai bagi kafe bertemakan hipster.

“Mujurlah dengan pengalaman ketika bekerja satu ketika dahulu memudahkan saya untuk mencari pembekal dan seterusnya dapat mengubahsuai kafe dengan kos separuh daripada harga pasaran.

“Hampir setahun juga saya melakukan kajian tentang tarikan pelanggan di lokasi ini. Memandangkan terdapatnya kedai makanan segera berprofil tinggi di kawasan ini, maka saya yakin, ia pasti menjadi tumpuan ramai.

“Setelah meneliti semua aspek sedalamnya, maka pada awal tahun lalu, The KO.PI dengan rasminya memulakan operasi. Alhamdulillah ia bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan pelanggan Melayu bahkan bangsa-bangsa lain juga,”
ujar Bhaiti.

ANTARA hobinya menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Mengulas lanjut tentang perkara menarik di kafenya, menurut anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini, The KO.PI mempertaruhkan kopi jenama Illy yang diimport khas dari Itali.

“Kopi ini memiliki keunikan tersendiri dan terkenal di seluruh dunia. Jika berpeluang ke luar negara misalnya, keenakan rasa kopi ini tetap sama dan tidak berubah. Itu yang membuatkan saya memilihnya,” ujar bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini.

Dalam masa yang sama, Bhaiti turut menjadikan The KO.PI sebagai pusat sehenti bagi pelanggan menikmati hidangan
bukan sahaja berbentuk pastri bahkan juadah timur mahupun barat.

“Di sini misalnya, kita ada lempeng ikan bilis, asam pedas serta nasi lemak yang menjadi The KO.PI lambang pengorbanan Norbhaiti menu kegemaran warga kota,” ujarnya yang turut menyediakan pakej keraian seperti sambutan hari lahir dan sebagainya.

Satu tahun lebih beroperasi, The KO.PI tidak terkecuali berdepan dengan cabaran ketika mana negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak COVID-19 Mac lalu.

“Bayangkan baru sahaja ingin bernafas, berhadapan pula dengan keadaan kritikal seperti itu. Saya hampir berputus asa
namun mujurlah ketika itu kafe ini masih boleh beroperasi secara dalam talian. Itu yang membuatkan ia bertahan.

“Sejujurnya jika bercakap tentang cabaran ini, ia bukan sahaja dari faktor luaran bahkan dalaman juga. Contohnya, bagaimana kita mengendalikan pekerja dan sebagainya. Pendek kata, sebagai ketua, kita perlu bijak mengemudi,” ujarnya yang fokus untuk membuka lebih banyak cawangan The KO.PI.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Bukan sahaja bijak membahagikan masa bersama keluarga bahkan wanita yang minat menunggang motosikal berkuasa tinggi ini aktif dalam lapangan politik dengan menyandang jawatan sebagai Ketua Puteri Umno Wilayah Persekutuan.

Berpandangan jauh ke hadapan, wanita matang berusia 37 tahun ini punya misi ingin memberi pendekatan lebih jelas
kepada golongan muda untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Sedih apabila ramai yang tidak sedar pentingnya mengundi. Inilah yang menentukan kerajaan dan masa hadapan negara. Kalau tak nak terlibat dalam politik sekalipun, kita perlu ambil tahu juga tentang isu semasa politik yang mana ia turut memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan.

“Jika direnung kembali, nenek moyang kita dahulu berhempas pulas untuk mencapai kemerdekaan sedangkan kita sekarang memandang enteng terhadap perjuangan” ujarnya tegas.

Sering meluangkan masa mendekati masyarakat, Bhaiti bersyukur memiliki jawatankuasa yang kukuh dan berdiri teguh
dibelakangnya.

“Mereka ini jentera yang kuat dan begitu komited dalam membantu saya mencapai misi penting. Saya amat  menghargainya,” katanya yang turut memikul tanggungjawab meringankan beban petugas barisan hadapan ketika menghadapi pandemik COVID-19.

SERING mendekati masyarakat.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas