Berita

Anggota Medan Barat Tentera Darat perlu faham, laksana empat nilai teras

Perbarisan Perintah Ulung Panglima Medan Barat Tentera Darat ke-21 di Kem Syed Sirajuddin, Gemas Perbarisan Perintah Ulung Panglima Medan Barat Tentera Darat ke-21 di Kem Syed Sirajuddin, Gemas
- Diterbit 17 September 2020 7:19 AM MYT

Setiap anggota perlu memahami dan melaksanakan empat nilai teras agar pemerintahan Medan Barat Tentera Darat menjadi pasukan yang disegani kawan dan digeruni lawan, kata Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Mohammad Ab Rahman.

Ketika berucap pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima Medan Barat Tentera Darat ke-21 di Kem Syed Sirajuddin, Gemas hari ini, beliau berkata empat nilai teras itu merangkumi pemerkasaan jati diri, peningkatan profesionalisme, pengekalan tahap kesiagaan dan keseimbangan.

Mohammad berharap berasaskan empat nilai teras itu, semua warga pemerintahan Medan Barat Tentera Darat bersama-sama menjayakan misi dan objektif yang dipertanggungjawabkan oleh pucuk kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Darat.

“Kita mantapkan pemerintahan Medan Barat Tentera Darat agar menjadi satu ketumbukan disegani kawan dan digeruni lawan selain kita utuhkan kesatuan serta kekalkan relevansi sebagai benteng pertahanan yang terunggul,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad turut mengingatkan kepada semua warga pemerintahan Medan Barat Tentera Darat agar melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya meskipun berhadapan cabaran termasuk persekitaran global yang tidak menentu.

“Justeru, bagi merealisasikan apa yang telah ditetapkan oleh Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Darat, pendekatan yang saya tetapkan bagi warga pemerintahan Medan Barat Tentera Darat adalah membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul.

Terdahulu, perbarisan itu disertai seramai 15 pegawai dan 320 anggota dan ia dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas